Sabtu, 12 September 2015 | 3:11pm

5,000 saksikan istiadat perbarisan ulang tahun TYT di Dataran Sibu


YANG Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud melambai tangan ketika membuat pemeriksaan kawalan kehormat di Dataran Sibu, hari ini. - Foto BERNAMA

SIBU: Kira-kira 5,000 orang membanjiri Dataran Sibu seawal jam 6 pagi untuk menyaksikan istiadat perbarisan sempena sambutan ulang tahun ke-79 Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud di sini hari ini.

Ini adalah sambutan hari jadi pertama Taib sebagai Yang Di-Pertua Negeri ke-7 di Bandar Sibu sejak mula dilantik pada 1 Mac 2014.

Ketibaan Taib dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib disambut Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dengan diiringi tujuh das tembakan meriam.

Taib kemudian membuat pemeriksaan kawalan kehormat yang merangkumi tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-3 Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Mejar Jostin Seruling.

Sebanyak 108 kontingen mengambil bahagian dalam istiadat perbarisan itu yang dibahagikan kepada beberapa kategori seperti Kumpulan Generasi Harapan Bangsa, Kumpulan Dasar dan Perancangan, Kumpulan Pengurusan dan Pentadbiran, Kumpulan Keselamatan dan Penguatkuasaan, Kumpulan Pahlawan serta Benteng Pertahanan Negara.

Malam tadi, Taib dan isteri menghadiri majlis kesyukuran di Masjid An-Nur Sibu. - BERNAMA

Berita Harian X