Sabtu, 12 September 2015 | 3:13pm

Pengawal keselamatan ditemui mati di tempat letak kereta PPR

KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan ditemui mati selepas dipercayai diserang dua lelaki di Blok D PPR Intan Baiduri, Kepong dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R Munusamy, berkata mayat mangsa berusia 39 tahun itu ditemui terbaring bersebelahan sebuah kereta di tempat meletak kenderaan blok berkenaan oleh seorang penduduk yang sedang menjalankan rondaan keselamatan, jam 11 malam.

"Mengikut saksi, mangsa dilihat diserang dua lelaki menaiki motosikal di blok C dan berlaku pergaduhan sebelum kedua-dua suspek melarikan diri.

"Mangsa dipercayai diserang menggunakan senjata tajam menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di belakang kepala, ibu jari dan siku dan mati di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Munusamy berkata, berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, terdapat kesan darah dari tempat mangsa dijumpai hingga di belakang Blok C di mana motosikal mangsa jenis Modenas ditemui.

"Mangsa mempunyai tiga rekod jenayah lampau bersabit jenayah dan narkotik. Motosikal milik mangsa terdapat kesan pecah dan didapati menggunakan nombor plat palsu," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - BERNAMA

Berita Harian X