Sabtu, 12 September 2015 | 4:26pm

Vanidah Imran terima ijazah esok

Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20, Vanidah Imran.

KUALA LUMPUR: Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20, Vanidah Imran bersyukur dan teruja kerana perit jerih sejak 2010 melanjutkan pelajaran sudah terbalas menerusi segulung ijazah yang akan diterima esok.

Vanidah yang mengikuti kursus Sarjana Muda Bahasa Inggeris, Universiti Terbuka Malaysia, KL dan menamatkan pengajian tahun lalu, akan menerima ijazah pada majlis konvokesyen yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Vanidah mengikuti jejak suaminya, Rashidi Ishak yang sudah pun menerima Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Komunikasi daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) beberapa tahun lalu.

"Syukur Alhamdulillah selepas empat tahun berhempas pulas menimba ilmu, akhirnya saya berjaya menamatkan kursus Sarjana Bahasa Inggeris.

Segala impian dan cita-cita untuk menyarung jubah konvokesyen dan menerima ijazah akan menjadi kenyataan pada hari ini (13 September). Teruja dan tak sabar rasanya untuk momen indah ini.

"Selama ini saya hanya dapat menyarungkan jubah graduan untuk watak lakonan dalam drama TV sahaja. Kali ini pasti berbeza kerana ia bukan lakonan tetapi hasil titik peluh saya bekerja keras mengejar ilmu.

" ..dan lebih bermakna lagi apabila suami dan anak akan ada bersama pada hari konvokesyen ini," kata ibu kepada Mikail Aimran dan Mariyam Rashika itu penuh semangat.

Berita Harian X