Isnin, 14 September 2015 | 5:57pm

Jihan anggap gosip berkahwin satu doa

JIHAN anggap gosip beliau bakal mendirikan rumah tangga sebagai doa daripada peminat yang inginkan perkara yang terbaik buat dirinya. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara, Jihan Muse tidak terkejut dengan desas-desus bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan pelakon, Ku Hariz.

Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa, 32, berkata gosip itu dianggap doa daripada peminat yang inginkan perkara yang terbaik buat dirinya.

"Bukan pertama kali saya digosipkan bakal berkahwin, jadi tidak perlu saya mengulas lebih lanjut isu ini.

"Pastinya orang ramai ingin melihat saya berkahwin sehingga timbul gosip sebegini. Pastinya mereka mendoakan yang terbaik buat diri saya.

"Saya menganggap kata-kata itu sebagai doa dan jika diizinkan Tuhan, saya akan dipertemukan jodoh secepat mungkin. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya.

"Namun buat masa ini saya belum membuat sebarang perancangan perkahwinan kerana terlalu sibuk dengan kerjaya seni. Walau apa sekali pun, keluarga pasti tahu terlebih dahulu berbanding ruangan gosip," katanya kepada BH Online.

Jihan menambah, sebarang keputusan yang dibuat berkaitan rumah tangga pastinya akan dirujuk kepada keluarga terlebih dahulu.

Beliau enggan membelakangkan keluarga memandangkan isu berkahwin bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh.

Baru-baru ini, sebuah akhbar mingguan menerusi ruangan gosip melaporkan seorang teman pelawak itu yang menetap di luar negara akan kembali ke Malaysia pada bulan depan bagi menghadiri majlis sahabatnya iaitu Jihan.

Berita Harian X