Selasa, 15 September 2015 | 1:19pm

Keith Foo tidak kedekut ilmu: Risteena

RISTEENA bergandingan dengan Keith Foo dalam filem Girlfriend Kontrak. - Foto Grand Brilliance

KUALA LUMPUR: Pertama kali bergandingan dengan Keith Foo, pelakon baharu, Risteena mengakui pelakon lelaki itu yang juga gandingannya dalam filem Girlfriend Kontrak, sangat membantu sekali gus memudahkan kerjasama terjalin antara mereka.

Katanya, sebagai pelakon yang lebih lama menerjah persada seni, Keith tidak kedekut ilmu.

Filem Girlfriend Kontrak terbitan Grand Brilliance akan ditayangkan pada 24 September ini.

Selain mereka, ia turut dibintangi Bront Palarae, Azad Jasmin, Mustapha Kamal, Zarina Zainuddin dan Fara Fauzana.

RISTEENA atau nama penuhnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas memegang watak sebagai gadis kampung bernama Alisa. - Foto Grand Brilliance

Risteena atau nama penuhnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas memegang watak sebagai gadis kampung bernama Alisa yang mempunyai misi untuk menyelamatkan kelip kelip kesayangannya daripada dimusnahkan Umar (Keith Foo).

"Biar pertama kali bergandingan, sikap dia (Keith) banyak membantu saya menjiwai watak Alisa. Sikap dia yang sangat terbuka banyak membantu saya mencipta keserasiaan antara kami," kata Risteena.

Grand Brilliance mempunyai rekod cemerlang dalam menghiburkan penonton dengan filem romantik komedi yang berkualiti seperti Istanbul Aku Datang dan Sejoli.

Bagi meneruskan tradisi ini, Grand Brilliance akan menyajikan filem Girlfriend Kontrak pula, sentuhan magis pengarah dari Australia, Virginia Kennedy.

Filem Girlfriend Kontrak adalah filem penuh pertama arahan beliau yang sebelum ini terkenal dengan hasil kerjanya untuk iklan komersil dan muzik video.

ANTARA babak dalam filem Girlfriend Kontrak. - Foto Grand Brilliance

Virginia memulakan karier sebagai pereka grafik dan kemudian menceburkan diri dalam bidang kesan khas dan animasi.

Filem pendek beliau berjudul Thread, pernah memenangi anugerah berprestij Mediatheques Prize di Clermont Ferrand Film Festival.

Menjadikan Kuala Selangor sebagai lokasi utama, filem yang mengambil masa sebulan untuk dirakamkan ini memapar elemen alam sekitar dengan menjadikan kelip-kelip atau kunang-kunang sebagai subjek utama dalam filem ini.

Berkisarkan mengenai seorang gadis manis dari kampung bernama Alisa, lakonan Risteena Munim, yang sanggup merantau ke Kuala Lumpur demi menyelamatkan kelip-kelip di kampungnya yang terancam kerana projek pembangunan yang dijalankan oleh Monaki Development, sebuah syarikat gergasi milik seorang jutawan kasanova bernama Umar, lakonan Keith Foo.

Dalam usahanya menyelamatkan kelip-kelip, Alisa harus mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran termasuk gangguan daripada Farrah yang mahu menjatuhkannya, watak antagonis lakonan hebat penyampai radio paling popular tanah air, Fara Fauzana.

RISTEENA mengakui gandingan bersama Keith Foo dalam filem Girlfriend Kontrak sangat membantu sekali gus memudahkan kerjasama terjalin antara mereka. - Foto Grand Brilliance

Rancangan jahat Farrah turut disertai oleh Zain, bakal abang tiri Umar, lakonan Bront Palarae yang juga berniat untuk merampas kedudukan Umar dalam syarikat Monaki.

Penonton turut akan disapa dengan komedi bersahaja yang dijayakan oleh Azad Jazmin, pelakon berbakat kelahiran Pulau Pinang yang melakonkan watak Harith, seorang lelaki metroseksual yang berkerja dengan Umar dan ditugaskan untuk mengubah imej Alisa, daripada gadis kampung, kepada wanita moden dengan personaliti menarik.

Filem ini turut menghidangkan babak romantik antara Keith Foo dan Risteena Munim serta menyajikan sisi nakal Keith Foo yang bakal mencairkan hati dan pasti membuatkan penonton tersenyum.

Filem ini juga mempertaruhkan lagu Ku Bersedia sebagai lagu tema filem ini yang didendangkan penyanyi Indonesia, Yuka Kharisma.

Informasi dan gambar dari filem Girlfriend Kontrak boleh didapati di Facebook: https://www.facebook.com/grandbrilliance, Youtube: https://www.youtube.com/gbsbteam, Twitter: https://twitter.com/GrandBrilliance dan Instagram @grandbrilliance.

Berita Harian X