Selasa, 15 September 2015 | 6:20pm

Sukan tinju digesa diharamkan selepas kematian seorang peninju Australia


DAVEY Browne Jr.

SYDNEY: Persatuan Perubatan Australia (AMA) menggesa supaya sukan tinju diharamkan, susulan kematian seorang peninju berusia 28 tahun, selepas rebah di gelanggang.

Davey Browne Jr meninggal di Hospital Sydney di sini, awal pagi hari ini, akibat kecederaan dialami pada kejuaraan wilayah super-featherweight IBF di sini, empat hari lalu - selepas keluarganya bersetuju alat bantuan pernafasannya ditanggalkan.

Ayah kepada dua anak itu rebah dan terjatuh di atas bangku, 30 saat sebelum saingan sebanyak 12 pusingan itu berakhir ketika menentang peninju Filipina, Carlo Magali.

Dia kemudian dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.

Naib Presiden AMA, Dr Stephen Parnis berkata sudah tiba masanya sukan tinju diharamkan.

"Satu tumbukan boleh membunuh - sama ada anda di luar pub pada malam Jumaat atau dalam gelanggang tinju - ini adalah penyebab kepada kematian anak muda secara traumatik," menurut laman web Jabatan Penyiaran Australia, ABC.

Pada Mac lalu, Braydon Smith meninggal dunia dua hari selepas kalah dalam pertarungan di kampung halamannya di Toowoomba, Queensland. Dia rebah selepas 90 minit pertandingan berakhir. - AFP

Berita Harian X