Selasa, 15 September 2015 | 6:30pm

Lebuhraya Pan Borneo akan jadi pemangkin menyeluruh Sarawak - PM


NAJIB dan Adenan Satem (tiga dari kanan), serta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof (empat dari kanan), , dan kenamaan lain merasmikan Fasa Pertama Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, (Jajaran Telok Melano-Sematan). - Foto Nadim Bokhari

LUNDU: Datuk Seri Najib Razak yakin hanya Projek Lebuhraya Pan Borneo mampu memangkin pembangunan secara menyeluruh di Sarawak.

Perdana Menteri berkata, banyak projek lain dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini, termasuk pembinaan institusi pengajian tinggi, namun ia tidak mampu membawa perubahan untuk dinikmati semua rakyat.

"Sebab itu, saya puas memikirkan dalam berpuluh projek yang dirancang di Sarawak, mana satu yang akan membawa perubahan untuk rakyat keseluruhannya.

"Kita boleh melaksanakan pelbagai projek, tetapi hanya Lebuhraya Pan Borneo sahaja akan mengubah Sarawak secara menyeluruh," katanya berucap pada pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak (Jajaran Telok Melano-Sematan) di Sematan, di sini, petang ini.

Yang turut hadir Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Najib berkata, pembinaan lebuh raya terbukti berjaya membawa perubahan ketara di seluruh dunia, termasuk pembinaan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Semenanjung.

"Jika kesannya (pembinaan lebuh raya) sudah kita lihat terbukti di negara lain serta di Semenanjung, maka saya percaya Sarawak juga akan mengalaminya dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

"Banyak pusat pertumbuhan baharu akan wujud sepanjang lebuh raya, sekali gus memberi faedah kepada penduduk," katanya.

Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer dari Sabah ke Sarawak diumumkan Najib ketika membentangkan bajet tahun lalu. 

Sebahagian besar projek itu membabitkan kerja menaik taraf laluan satu lorong kepada dua lorong yang meliputi jarak 1,089 kilometer dengan peruntukkan RM18 bilion. 

Jajaran Telok Melano ke Sematan sepanjang 32.7 kilometer yang dilancarkan hari ini, dibina dengan kos RM700 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh 39 bulan menjelang Disember 2018. 

Apabila siap, lebuh raya berkenaan memberi akses lebih baik kepada penduduk di dua kampung terakhir di penghujung Borneo iaitu Kampung Telok Melano dan Telok Serabang yang selama ini menjadikan laut sebagai jalan perhubungan utama untuk ke daerah lain.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Najib turut mengumumkan langkah Kerajaan Pusat untuk menurunkan kuasa kepada kerajaan negeri khususnya dalam membuat keputusan pelaksanaan projek luar bandar antaranya pembinaan hospital dan sekolah.

"Berikutan penurunan kuasa ini, Pengarah agensi kerajaan negeri tidak lagi perlu merujuk kepada Putrajaya dalam membuat sesuatu keputusan.

"Pelaksanaan sesuatu projek kerajaan juga menjadi tanggungjawab sepenuhnya kerajaan negeri dan ini dapat mengelakkan pertindihan," katanya.

36 dibaca
Berita Harian X