Rabu, 16 September 2015 | 12:01am

Bermotosikal menuntut ilmu al-Quran


JUARA Akademi al-Quran musim kelima kini mengajar lebih 200 urid berusia antara lima hingga 65 tahun.

MENGIBARATKAN membaca al-Quran sebagai 'nasi' yang diperlukan setiap hari, pendakwah bebas, Ustaz Mohd Syahriansyah Apin, 28, tidak langsung menganggap kepenatan berkejar ke sana sini untuk mengajar kalam Allah itu sebagai beban.

Malah, guru muda yang berasal dari Kampung Karamunting, Sandakan, ini menganggap medium dakwah sebagai hiburan yang boleh mendidik dan melahirkan generasi yang cintakan al-Quran.

"Kemanisan dalam bidang ini sangat terasa apabila ada segelintir masyarakat yang menganggap al-Quran ini sebagai keperluan yang berterusan, umpama kita memerlukan nasi untuk hidup.

"Saya sendiri sering terlupa dengan kelihatan berkejar ke sana sini untuk berdakwah apabila melihat keseronokan murid membaca al-Quran," kata pendakwah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam (Pendidikan al-Quran) Universiti Malaya (UM).


PENDAKWAH bebas, Ustaz Mohd Syahriansyah Apin.

Bapa ajar al-Quran

Bercerita mengenai latar belakangnya, katanya beliau mula mengenal al-Quran seawal usia tujuh tahun. Beliau berguru dengan bapanya yang juga imam masjid, Apin Salehhuddin, 58, menggunakan sistem pengajaran ketika itu iaitu muqadam.

"Bapa saya tidak pernah memukul saya ketika belajar al-Quran tetapi suaranya saja sudah cukup membuatkan kami dan anak murid lain kecut perut," katanya.

Anak keempat daripada lima beradik ini turut melahirkan rasa kesyukuran kerana semua adik beradiknya mempunyai pendidikan dalam al-Quran dan dua daripada adik beradiknya turut menghafal al-Quran.

Pengajiannya dalam al-Quran diteruskan dengan guru agama yang berhijrah dari Indonesia yang menggunakan sistem tradisional dalam pembelajaran kalam suci itu.

Minatnya mendalami bidang ilmu al-Quran bukan hanya pada peringkat sekolah, bahkan ketika masih menuntut di Akademi Islam UM, kampus Nilam Puri, Kelantan, beliau sanggup bermotosikal berulang alik ke kelas pengajian di luar kampus dengan beberapa tokoh agama terkemuka di Pantai Timur termasuk Abdul Rahim dan Hasan Musa, masing-masing di Pengkalan Chepa dan Nik Jaafar (Pasir Mas).

"Saya suka belajar secara talaqi musyafahah (berdepan secara langsung dengan guru) dalam bidang taranum. Belajar al-Quran ini perlu berguru sebagaimana Rasulullah SAW belajar bacaan al-Quran dengan malaikat Jibrail. Baginda SAW membaca al-Quran dan malaikat membetulkan bacaannya," katanya.

Perlu berguru

Justeru, beliau turut menasihatkan umat Islam supaya berguru untuk mendalami dan memahirkan bacaan al-Quran bukan hanya bergantung sepenuhnya dengan teknologi komunikasi.

"Tidak salah menggunakan perisian dalam telefon bimbit atau komputer riba sebagai sampingan untuk memahirkan bacaan al-Quran tetapi bukan bergantung sepenuhnya dengan peralatan itu kerana pembelajaran al-Quran memang perlu berguru seperti yang diajar Rasulullah," katanya.

Sebelum menamatkan pengajian di UM, beliau menyertai program realiti TV, Akademi al-Quran musim ke-5 pada 2011 dan berjaya menjuarai program itu.

Jika dulu beliau pernah menjadi pelajar Kelas Kemahiran al-Quran dan kini sebaik saja menamatkan pengajian di UM, beliau dihantar berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Setapak Indah sebagai guru subjek yang sama.

Antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi guru al-Quran, termasuk anak didiknya yang berusia 13 tahun sudah menghafal lima juzuk al-Quran selepas mendapat didikannya selama tiga tahun.

Anak didiknya kini sudah berjumlah 200 orang, dari usia semuda lima hingga 65 tahun dan sehingga kini

Pernah ada seorang murid saya berusia 62 tahun yang tidak tahu membaca al-Quran dan mengambil masa tiga bulan hanya untuk memahirkan diri dengan sebutan huruf.

"Kini selepas tiga tahun beliau mampu membaca al-Quran dengan lancar. Apabila saya melihat kesungguhan beliau, saya rasa lebih tercabar untuk membantunya," kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Terpikat selepas mengalunkan marhaban

Perkenalan dengan isteri, Katini Kirang, 30, bermula apabila isterinya itu terpikat dengannya selepas menyaksikan beliau mengalunkan marhaban dalam program yang disiarkan di Astro.

"Walaupun kami sekampung tetapi tidak mengenali. Di kampung saya ada menubuhkan kumpulan marhaban yang sering menyertai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan.

"Apabila saya muncul di kaca televisyen, barulah isteri mengenali dan terpikat dengan saya. Baginya keindahan bukan dilihat dari luaran tetapi dinilai dari dalaman," katanya.

Beliau turut menaruh harapan untuk melihat generasi yang cintakan al-Quran secara berterusan kerana al-Quran akan menjadi 'peguam' kita di akhirat kelak.

"Al-Quran akan menjadi syafaat kita di akhirat kelak. Justeru, sentiasalah berdampingan dengan al-Quran. Belajar al-Quran dengan berguru dan bersanad mampu melahirkan mukjizat al-Quran," katanya yang turut mengagumi qari diraja Mesir yang terkenal, Allahyarham Sheikh Mustafa Ismail.

178 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »