Rabu, 16 September 2015 | 5:09pm
ANTARA penyokong JDT yang hadir di Stadium Mongkok, malam tadi. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers

TMJ gembira JDT mara separuh akhir Piala AFC

ANTARA penyokong JDT yang hadir di Stadium Mongkok, malam tadi. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers

KUALA LUMPUR: Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNP), Tunku Ismail Sultan Ibrahim melahirkan rasa gembira dengan kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke separuh akhir Piala AFC musim ini.

JDT melangkah ke peringkat berkenaan selepas menewaskan pasukan South China FC dari Hong Kong pada saingan suku akhir dengan agregat 4-2 menerusi aksi timbal balik termasuk di tempat lawan mereka itu malam tadi.

Dalam kenyataannya menerusi Facebook kelab berkenaan, Johor Southern Tigers, sebentar tadi, Tunku Mahkota Johor menyifatkan kejayaan itu sebagai satu catatan sejarah dalam perkembangan bola sepak negara ini.

Sehubungan itu, Tunku Ismail berharap JDT akan menempa lebih banyak kejayaan selepas ini supaya generasi akan datang dapat berbangga dengan pencapaian pasukan itu pada masa depan.

"Saya amat gembira dengan pencapaian ini, dan sekali lagi JDT telah melakar sejarah dalam bola sepak Malaysia," kata Tunku Ismail.

AKSI pemain JDT, Safee Sali ketika bertemu South China di Stadium Mongkok, malam tadi. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers

Berikut adalah kenyataan penuh Tunku Ismail menerusi Facebook rasmi JDT sebentar tadi:

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pegawai Persatuan Bolasepak Negeri Johor, ahli-ahli jawatankuasa, para penaja, kakitangan kejurulatihan dan semua pasukan atas kerja keras mereka serta memenuhi tanggungjawab masing-masing.

Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, setiap orang bertanggungjawab dalam persatuan untuk memainkan peranan dalam mencapai kejayaan kita.

Apa yang penting adalah untuk terus maju ke hadapan. Saya amat gembira sekali dengan keputusan malam tadi.

Semasa pelancaran jersi baru pasukan JDT di Dataran Bandaraya sebelum ini, saya telah memaklumkan kepada pengurusan pasukan bahawa sasaran kita sentiasa adalah untuk menjuarai Liga Super, dan Piala FA sebagai sandaran, supaya kita dapat melayakkan diri untuk bersaing di AFC, serta melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kerana tiada pasukan dari Malaysia pernah melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.

Saya amat gembira dengan pencapaian ini, dan sekali lagi JDT telah melakar sejarah dalam bola sepak Malaysia.

Tahniah diucapkan kepada para pemain yang telah bermain dengan amat baik sekali. Tidak lupa juga kepada para penyokong, kerana tanpa sokongan dan kepercayaan anda terhadap polisi kami, semua ini tidak akan menjadi kenyataan.

Marilah kita menempa sejarah supaya generasi kita pada masa akan datang sentiasa berbangga dengan pencapaian bola sepak negeri tercinta ini ".

Berita Harian X