Khamis, 17 September 2015 | 11:51am

Rolling Stones akan keluarkan album baharu tahun depan

- Foto Rolling Stones

LOS ANGELES: Kumpulan lagenda rock n roll yang ditubuhkan pada 1962, Rolling Stones merancang untuk merakamkan album terbaharu mereka tahun hadapan. Kali terakhir The Rolling Stones bergabung untuk pembikinan album adalah pada tahun 2005, berjudul A Bigger Band. Selepas sedekad tidak bersama, vokalis Mick Jagger mahu mengulang detik bersejarah itu.

Hal itu disahkan sendiri gitaris utama kumpulan berkenaan, Keith Richards dalam satu temubual secara langsung menerusi radio malam Selasa lalu ketika beliau mempromosikan album solo terbaharunya berjudul Crosseyed Heart.

Richards yang berusia 71 tahun berkata, beliau dan anggota yang lain termasuk Mick Jagger, Charlie Watts dan Ronnie Wood sudah bersedia untuk kembali merakamkan album di studio.

"Saya berada di London minggu lalu dan kami meluangkan masa bersama. Yeah!, kami memang sudah sedia untuk merakamkan rekod baharu," kata Richards kepada stesen radio iHeartRadio.

Sesi rakaman album itu juga akan diikuti dengan siri jelajah kumpulan berkenaan ke Amerika Selatan dirancang awal tahun hadapan.

Richard yang sudah menjelajah Amerika Utara bersama kumpulannya hingga pertengahan Julai lalu, dijangka melancarkan album solonya itu pada Jumaat ini. Album berkenaan mengadunkan pelbagai irama dari rock, reggard dan irama muzik Country selain menampilkan Richards bermain gitar elektrik dan akustik, bass dan piano termasuklah menyanyi.

Ia turut menampilkan kolaborasi beliau dengan Norah Jones, pemain keyboard Ian Neville dan gitaris Waddy Wachtel. Richards juga menunjukkan bakat menulis hampir keseluruhan lagu yang dimuatkan dalam album dengan pembabitan Steve Jordan selaku pemain dram dan penerbit bersama.

Ditanya dalam satu temubual berlainan yang dikemaskini sebuah laman web muzik rock dan pop, The Quietus sama ada kumpulan Rolling Stones pernah terfikir untuk berpecah, Richards menafikannya.

"Takkan pernah. Kami hanya membawa haluan sendiri buat seketika. Memang tak ada ura-ura ke arah perpecahan pun," katanya.

Berita Harian X