Khamis, 17 September 2015 | 2:52pm

116 terima darjah kebesaran, pingat dari Raja Perlis hari ini

ARAU: Seramai 116 orang lagi menerima darjah kebesaran dan pingat, bagi siri ketiga sempena ulang tahun keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, di sini, hari ini.

Mendahului senarai penerima ialah Ketua Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesionalisme Keguruan, Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis, Dr Raihaniah Zakaria yang menerima darjah Ahli Mahkota Perlis (AMP) bersama 11 penerima lain.

Turut menerima pingat daripada baginda ialah 34 penerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), 32 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 33 penerima Pingat Jasa Baik (PJB) dan lima penerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Majlis berlangsung di Balai Rong Seri Istana Arau dengan turut disaksikan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hari ini adalah siri terakhir penganugerahan. - BERNAMA

Berita Harian X