Ahad, 28 September 2014 | 8:06am

Pujian Obama terhadap transformasi ekonomi satu pengiktirafan - Najib

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ceria ketika sidang media bersama wartawan Malaysia mengenai rangkuman lawatan beliau ke Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak ceria ketika sidang media bersama wartawan Malaysia mengenai rangkuman lawatan beliau ke Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York. - Foto BERNAMA

NEW YORK: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pujian Presiden Barack Obama terhadap kesungguhan Malaysia melakukan transformasi ekonomi sebagai satu pengiktirafan ke atas negara.

"Ucapan Obama sedikit sebanyak menggambarkan pengiktirafan Amerika terhadap usaha kita untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara maju," kata Perdana Menteri.

Khamis lalu, Obama dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-69, memuji Malaysia yang menjana pertumbuhan ekonominya tanpa mengorbankan tradisi dan kepercayaan terhadap agama.

Obama menegaskan dalam usaha membendung keganasan, dunia Arab dan Islam seharusnya memberi tumpuan terhadap potensi rakyat, khususnya golongan belia.

DATUK Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York. - Foto BERNAMA

Perubahan yang positif, ujar Obama, tidak semestinya datang dengan mengorbankan tradisi dan kepercayaan terhadap agama.

Ini, katanya, terbukti dengan apa yang dapat dilihat di Malaysia. Usahawan Malaysia, kata Obama, bersemangat dan bertenaga untuk menggerakkan negara yang satu ketika dulu pernah dijajah ke arah status negara maju.

Pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja sembilan hari bermula 20 September sempena UNGA, Najib juga berpuas hati dengan hasil pertemuan bilateral dengan beberapa pemimpin.

"Mereka melihat Malaysia bukan saja boleh menjadi rakan, tetapi membantu mereka dalam pelbagai aspek," katanya.

Di celah sesi UNGA, Najib sempat mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, termasuk dari Belanda, Mark Rutte, Muhammad Nawas Sharif (Pakistan) dan Xavier Bettel (Luxembourg).

Berita Harian X