Jumaat, 18 September 2015 | 12:03am

Hikmah al-Quran: Bersyukur hargai nikmat

UNGKAPAN Alhamdulillah memberi maksud puji dan puja kepada Allah. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT: "Segala puji tertentu bagi Allah Yang Memiliki dan Menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi dan bagi-Nyalah juga segala puji di akhirat; dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya." (Surah Saba, ayat 1)

Perkataan `Alhamdulillah' disebut oleh al-Quran sebanyak 38 kali menggambarkan Allah maha layak dipuji kerana zat-Nya, sifat-Nya, nikmat-Nya, rahmat-Nya dan panduan kehidupan yang diberikan-Nya. Ungkapan Alhamdulillah memberi maksud puji dan puja kepada Allah.

Ia adalah kata-kata indah hanya dikhususkan kepada Allah SWT Tuhan pemberi rezeki, nikmat dan pujian kepada Allah yang menyediakan segala-galanya serta diciptakan alam ini untuk kita.

Firman Allah SWT: "Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka." (Surah al-An'am, ayat 1)

Sombong bila dipuji

MANUSIA menjadi sombong apabila dipuji berlebihan. - Foto hiasan

Kita memahami apabila manusia dipuji berlebihan ia akan menyebabkan manusia itu menjadi sombong dan merasakan semua perbuatannya betul serta tidak boleh dikritik atau ditegur.

Ungkapan `Alhamdulillah' satu-satunya lafaz yang diajar Allah SWT untuk menzahirkan kesyukuran secara lisan oleh hamba-Nya ke atas nikmat diberikan. Kesan daripada kesyukuran ialah akan bertambah nikmat yang akan diberikan.

Firman Allah: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Namun nikmat paling besar dan utama ialah nikmat hidayah diturunkan kepada kita iaitu al-Quran sebagai manhaj kehidupan. Firman Allah: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad), Kitab suci al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong)." (Surah al-Kahf, ayat 1)

Bayangkan apabila kita terjaga dari tidur pasti kita memujinya dengan menyebut `Alhamdulillah' kerana Allah masih memberi peluang untuk meneruskan kehidupan. Apabila kita dapat bangun dari tempat tidur, kita bersyukur kerana Allah masih memberi keupayaan bergerak.

Syukur atas nikmat, dugaan

Tanpa keizinan-Nya, tidak mungkin anggota kita dapat berfungsi. Begitulah seterusnya rutin kehidupan kita bersarapan pagi, bekerja dan sebagainya. Itu semua adalah kurniaan daripada Allah SWT yang perlu disyukuri.

Ucapan `Alhamdulillah' dilafazkan dari hati seorang hamba yang mencintai Allah. Adakalanya orang bersyukur hanya ketika mendapat nikmat dan apabila terlepas daripada kesusahan. Tetapi ada manusia pilihan Allah terus bersyukur, mengikat ikatan bersama Allah dengan sujud syukur, qiamulail serta melakukan kebaikan seperti menginfakkan harta di jalan Allah.

Kita wajib melahirkan syukur atas nikmat yang diperoleh atau mungkin juga dugaan hidup yang menimpa sebenarnya baik di sisi Allah.

Firman Allah: "Wahai orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkahlakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah an-Nisa, ayat 19).

Sesungguhnya ketentuan Allah itu terbaik untuk kita walaupun terkadang kita tidak mampu memahami hikmah di sebaliknya. Rasulullah SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya mereka tidak lupa bersyukur kepada Allah SWT.

Kepada Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW mengingatkan: "Janganlah kamu lupa untuk berdoa setiap kali selepas solat, Ya Allah bantulah aku agar selalu berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah kepada-Mu dengan sebaik-baiknya." (Riwayat Abu Daud).

Jangan lupa berdoa

MELAFAZKAN perkataan `Alhamdulillah' adalah sebagai pengiktirafan bahawa terlalu banyak nikmat kurniaan Allah kepada kita. - Foto hiasan

Apabila kita menyebut `Alhamdulillah' kita memuji uluhiyyah Allah dan kalimah Allah memberi makna Tuhan yang disembah dengan sebenarnya. Alangkah indahnya pujian kepada Allah bukannya terhenti di dunia saja malah berterusan sehingga ke akhirat.

Hayati sepenuh jiwa penjelasan Allah melalui firman-Nya: "Serta mereka berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janji-Nya kepada kami dan yang menjadikan kami mewarisi bumi syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari syurga ini di mana saja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal." (Surah az-Zumar, ayat 74).

Doa ucapan mereka di dalam Syurga itu ialah, "Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan! Dan ucapan penghormatan mereka padanya ialah: Selamat sejahtera! Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam!" (Surah Yunus, ayat 10)

Melafazkan perkataan `Alhamdulillah' adalah sebagai pengiktirafan bahawa terlalu banyak nikmat kurniaan Allah kepada kita. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang yang sentiasa mensyukurinya setiap masa dan keadaan.

Berita Harian X