Jumaat, 18 September 2015 | 12:08am
(DARI kiri) Annie Arris, Ainul Aishah, Erin Malek dan Nadzirah Rahman ketika majlis fesyen Zalora di Damansara. - Foto Saddam Yusoff

Ainul 'Nana Tanjung' tak kekok bergelar tauke biskut


KUALA LUMPUR: Hampir kebanyakan artis tempatan kini memilih untuk melebarkan sayap dalam dunia perniagaan.

Mungkin semuanya berbalik kepada soal sudah tiba masanya untuk mencari angin baharu atau menambah pendapatan sampingan dalam meneruskan 'survival hidup'.

Kehadiran laman sosial sedikit sebanyak memudahkan promosi.

Hanya dengan berbekalkan pengaruh atau populariti yang ada, perniagaan yang dijalankan golongan artis menjadi batu loncatan buat mereka untuk berniaga. Tidak kurang juga yang melihat bidang perniagaan ini dilakukan sebagai jaminan masa hadapan.

Betul sementara masih muda, bertenaga mahupun mempunyai pengaruh tersendiri tak salah memanfaatkannya untuk tujuan kebaikan.

Rozita Che Wan dan Neelofa contohnya antara yang cukup dilihat sukses dengan perniagaan masing-masing.

Pelakon Ainul Aishah, 30, turut tak ketinggalan melakukan hal sama. Bagaimanapun berbeza dengan sesetengah artis yang memilih untuk berniaga tudung contohnya, Ainul melawan arus dengan menceburi perniagaan menjual biskut di bawah nama Ainul A Cookies.


AINUL Aishah pada tayangan filem Pilot Cafe di NU Sentral. - Foto Adi Safri

Memulakan lakonan di usia 21 tahun, Ainul pernah memperlahankan kerjaya seninya pada usia 23 hingga 26 tahun. Ketika itu dia pernah menjalankan perniagaan aiskrim yogurt.

Tapi itu tak bererti dunia lakonan ditinggalkan begitu sahaja atau dalam erti kata lain memilih untuk bersara, sebaliknya kerinduan untuk kembali beraksi di depan kamera membuatkan dia kembali berlakon tahun lalu.

Jadi pada persepsi Ainul apakah dunia hiburan ini mungkin tidak memberikan jaminan hingga terpaksa memilih untuk berniaga?

"Ia bergantung kepada cara kita bekerja dan sejauh mana kita melihat dunia lakonan ini pada masa mendatang. Kalau ada cara untuk terus kekal lama dan bertahan di arena lakonan, ia satu bonus.

"Tetapi dalam perjalanan ke arah itu seiring peningkatan usia, saya sendiri pernah beranggapan 'survival' lakonan agak sukar. Lalu saya sendiri sentiasa memikirkan ke hadapan dengan memastikan wujud pelan sandaran.

"Sewaktu awal lakonan, dalam menempuhi beberapa fasa... saya pernah sangka bahawa akan berlakon selama-lamanya. Tetapi seperti saya katakan, dalam perjalanan ke hadapan itu kita pasti bertemu atau menemui banyak benda yang boleh dilakukan. Saya sendiri menemui titik permulaan untuk menjalankan perniagaan. Setidak-tidaknya saya ada jaminan menjelang hari tua. Usia bukan semakin menurun.


AINUL melawan arus dengan menceburi perniagaan menjual biskut di bawah nama Ainul A Cookies. - Foto Maya Sarina Mahat

"Dalam hal ini, bukan soal saya melihat dunia lakonan itu tidak akan boleh bertahan. Cuma saya memilih untuk beringat dengan ada pilihan berniaga.

"Katakanlah saya saya sudah tua dan sakit, pastinya saya perlu duit untuk meneruskan hidup. Memang kita semua akan jadi tua pun. Jadi sedikit demi sedikit saya belajar selok belok perniagaan," katanya.

Saat ini, biarpun sudah menjalankan perniagaan biskut, Ainul memilih untuk terus berlakon. Jadi secara kesimpulannya, Ainul memilih untuk mengimbangi kedua cabang kerja itu sebaik mungkin. Ainul sudah dua tahun berniaga biskut. Dia juga mewujudkan akaun laman sosial perniagaannya sebagai akses mempromosi biskutnya.

"Saya sendiri tak mampu menebak, dunia lakonan ini akan bertahan berapa lama lagi atau mungkin nak berhenti. Cuma saat ini, saya belum ada hasrat nak berhenti berlakon. Rindu memang rindu bila sudah lama tak berlakon.

"Selagi ada tawaran berlakon, saya terima. Saya pun masih muda. Tidaklah muda sangat. Selagi saya masih mampu buat banyak kerja, maka saya akan buat. Lainlah usia saya kini sudah 50 atau 60 tahun," katanya.

Setuju kalau ada yang mengatakan bergelar artis dan kemudiannya memilih untuk berniaga menjadi batu loncatan. Ada yang melihat pengaruh bergelar anak seni contohnya mempunyai jumlah pengikut di laman sosial yang banyak menjadi tiket untuk melonjakkan kerjaya perniagaan yang diceburi. Bagaimanapun Ainul tidak berfikir begitu dan mempunyai alasannya.


AINUL Aishah ketika menghadir pelancaran telefon pintar Vivo di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

"Berniaga ialah satu perkara lain dan hal sama juga dengan dunia lakonan. Ya, apabila berlakon atau menyanyi, sedikit sebanyak orang akan kenal nama kita. Tapi kalau berasakan berlakon dan kemudian menjalankan perniagaan boleh maju dengan hanya berbekalkan pengaruh itu, saya tak setuju sangat. Jangan harap bisnes nak maju setakat guna nama sahaja. Ia barangkali bonus.

"Cuma berniaga ini bukan hal main-main. Kita mengambil risiko dengan melaburkan sejumlah wang dengan harapan mendapat pulangan berlipat ganda. Jadi berniaga ini kita kena mahir dan bijak dalam banyak hal termasuk sudut pemasaran, rangkaian hubungan. Semua itu kena buat satu persatu. Saya percaya dua bidang ini perlu ada keseimbangan. Dua dua kena kerja kuat," katanya.

Ditanya mengenai senario artis mengakhiri kerjaya tanpa simpanan atau harta, pelakon drama Fajar di Bukhara ini juga takut andai suatu hari nanti hal yang sama terjadi kepadanya.

"Mestilah takut kalau pengakhiran hidup kita jadi begitu. Sebab itu saya buat semua ini termasuk berniaga untuk masa hadapan yang lebih baik. Bayangkan kalau umur 40 tahun baharu saya nak berlakon dan andai kata di usia itu saya sudah anak. Atau saya sudah bercerai. Semuanya pasti jadi lain. Tak mustahil ini boleh terjadi sekalipun ia hanya gambaran.

"Tak mungkin juga ketika usia itu saya mempunyai tenaga lebih untuk berniaga dan buat macam-macam kerja dalam satu masa. Apa yang saya lakukan ini semuanya sebagai persediaan untuk masa depan dan melalui hari tua dengan baik.

"Agak menakutkan kalau kerjaya seni saya contohnya berakhir sendirian pada usia 50-an tapi hidup hanya mengharapkan ihsan orang. Saya tak nak tua macam itu. Saya nak kehidupan yang terbaik bersama mereka yang kita sayang termasuk ahli keluarga," katanya.

Sempat diusik persoalan peribadi iaitu mengenai perihal kahwin, pada usianya kini, dia memang layak untuk ke gerbang perkahwinan. Pernah melalui fasa percintaan beberapa kali yang tidak berakhir dengan begitu indah, Ainul pasrah dalam soal ini.

"Kahwin memang perlu. Tapi kahwin dengan orang yang salah itu tak perlu. Saya belum jumpa orang yang sesuai. Saya juga tak terburu-buru ke arah itu. Saya layak menikmati hidup ini dengan insan yang benar-benar boleh menghargai kita. Insya-Allah. Saya tunggu sahajalah Mr Right itu. Kalau ada jodoh tak ke mana," katanya.


PELAKON, Ainul Aishah. - Foto Maya Sarina Mahat

Ainul Aishah

  • Adalah finalis kategori Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke-20 (FFM).
  • Nama penuhnya Ainul Aishah Azizun
  • Filem lakonannya seperti Pilot Cafe, Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria
  • Prof A Razak Mohaideen antara pengarah yang mula-mula memberi peluang kepadanya beraksi di layar perak.

Berita Harian X