Jumaat, 18 September 2015 | 3:47pm

Pemimpin BN berkampung di rumah panjang Long Busang

RUMAH panjang Long Busang

KUCHING: Seramai 73 pemimpin Pemuda Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara akan berkampung di rumah panjang Long Busang dalam daerah Belaga sempena Program BN Untuk Masyarakat dari 24 hingga 27 September ini.

Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata program berkenaan adalah anjuran bersama Pemuda BN Pusat dan Pemuda BN Sarawak dan dipengerusikan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang.

Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, sepanjang program itu, peserta yang terlibat dalam kerja gotong-royong akan mendirikan sebuah klinik dan membaiki sebuah sekolah di Long Busang, selain aktiviti riadah dan sukan bersama penduduk setempat.

Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Belia dan Sukan, akan mengetuai rombongan itu dan turut mengadakan dialog dengan masyarakat setempat.

"Tujuan program ini diadakan bagi menyahut saranan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak untuk memfokuskan usaha merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja BN Sarawak di sini hari ini.

Fadillah berkata, satu daripada inisiatif untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar ialah pemimpin muda perlu dibawa menjelajah ke luar bandar agar mereka dapat memahami, menyelami dan akhirnya dapat mengerti permasalahan di kawasan luar bandar.

"Itu sebabnya mereka dibawa ke Long Busang dan untuk ke sana mereka bukannya menaiki helikopter tetapi akan mengguna jalan darat, menaiki bot dan sepanjang perjalanan yang panjang itu diharap mereka akan dapat menghayati dan menyelami perjalanan hidup di luar bandar dan kawasan pedalaman," katanya.

Sementara itu, Liwan berkata peserta akan bertolak dari Bintulu menggunakan jalan darat pada 24 September dan bermalam di kawasan penempatan semula Bakun yang akan diadakan aktiviti bersama ketua masyarakat dan persembahan kebudayaan.

Katanya, pada awal pagi 25 September, rombongan akan bertolak dari Bakun menaiki bot ke Long San untuk singgah makan tengah hari sebelum meneruskan perjalanan selama sembilan jam ke rumah panjang Long Busang.

Rumah panjang Long Busang terletak hanya kira-kira 30 minit perjalanan dari Long Nawang yang terletak di bahagian Indonesia dan penduduknya campuran Kristian dan Islam.

- BERNAMA

Berita Harian X