Ahad, 28 September 2014 | 10:46am

Bocor kertas soalan perbuatan terkutuk

Kunta Kinte tak ada kena mengena dengan Kementerian Pendidikan atau kerajaan. Tapi Kunta Kinte peduli dengan tugas dan tanggungjawab mereka.

Jadi Kunta Kinte turut rasa malu dengar apa yang orang ramai kata dan apa yang Kunta Kinte baca dalam surat khabar berkenaan kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor.

Zaman Internet ni apa saja yang orang kata kita boleh tahu melalui pelbagai saluran media sosial. Kunta Kinte tak tahulah sama ada orang Kementerian Pendidikan dan kerajaan ada dengar jenaka Internet itu. Kalau mereka dengar, Kunta Kinte rasa mereka ambillah iktibar dan buatlah yang terbaik dan yang betul.

Bagi Kunta Kinte malu sangatlah bila dalam sistem pendidikan yang kita amanahkan untuk lahirkan generasi terpelajar dan berhemah tiba-tiba ada orang yang sanggup buat kerja jahat dan kerja khianat. Kunta Kinte tahu hanya segelintir kecil saja guru yang buat kerja terkutuk itu tapi kesannya semua guru kena.

Kita tak mahulah lagi kerap dan lagi kuat kita canang kecanggihan sistem persekolahan dan peperiksaan kita, lagi mudah dan lagi kerap soalan bocor, soalan silap dan macam-macam lagi kerenah. Nak salahkan ibu bapa dan murid marah dan pertikai kewibawaan sistem peperiksaan pun susah juga. Memang betul pun ada hal-hal yang tak patut berlaku, tapi berlaku.

Ada guru, pegawai pendidikan marah

Kunta Kinte yakin di kalangan guru dan pegawai pendidikan yang tekun dan ikhlas mereka pun marah dengan rakan mereka yang menyeleweng. Tentu mereka sedar yang perbuatan jahat sebilangan kecil rakan mereka menyebabkan ramai murid dan ibu bapa kecewa, tertekan dan hilang keyakinan.

Zaman kuno Kunta Kinte bersekolah dan ambil peperiksaan, tak ada pula kita dengar soalan bocor atau silap. Ada tak ada pun kertas soalan tak sampai atau lambat sampai sebab sistem pengangkutan yang serba kekurangan.

Kunta Kinte rasa tak cukup dengan janji dan ikrar saja. Kementerian dan kerajaan wajib siasat sampai ke lubang cacing dan hukum pihak-pihak yang buat kerja jahat itu.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata, Kunta Kinte dah mangli dengan janji macam ini. Jadi Kunta Kinte akan percaya hanyalah apabila orang yang buat kerja terkutuk itu disumbat ke dalam penjara.

Macam itu jugalah dengan pendakwaan ke atas ramai pegawai kastam atas tuduhan rasuah. Selagi tak sabit kesalahan dan tak dihumban ke dalam jel, Kunta Kinte tak akan percaya.

Kita dah tengok banyak kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah yang babitkan berbilion ringgit dibuang kes kerana penyiasatan dan pendakwaan yang hambar. Punya hambar sampai tak berani merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi.

Ada orang kata, siasatan kukuh tapi pendakwaan lemah. Kalau siasatan tak kukuh, macam mana Pejabat Peguam Negara setuju dakwa. Tapi bila dibicarakan kena buang kes. Kes kuat tapi tak sabit kesalahan. Salah siapa tu?

Macam mana pun, kita harap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis tak tawar hati siasat kes rasuah dan jenayah walaupun bila dibawa ke mahkamah tak sabit kesalahan.

Pelajaran akhlak bentuk nilai baik

Kunta Kinte tak tahulah sama ada dalam kurikulum sekolah sekarang ada mata pelajaran akhlak. Dulu ada. Di sekolah biasa ada, di sekolah agama belah petang pun ada.

Bagi Kunta Kinte, pelajaran asas akhlak inilah yang bentuk budi pekerti, sopan santun dan nilai-nilai baik dalam diri kanak-kanak supaya bila dewasa mereka hormat orang tua, patuh undang-undang dan peraturan, bertimbang rasa dan ada integriti.

Ingatlah peringatan nenek moyang kita:

Pergi memburu di padang datar

Dapat rusa belang kaki

Kalau berguru kepalang ajar

Ibarat bunga kembang tak kaji.

Wallahuaklam.

Berita Harian X