Ahad, 20 September 2015 | 7:03am

Kuasa autonomi tingkat keupayaan urus tadbir IPT

RANKING Universitas 21 atau U21 bagi tahun 2015 sudah menempatkan sektor pendidikan tinggi Malaysia di tempat ke-27 daripada 50 negara.

Kedudukan ini lebih baik berbanding tahun lalu iaitu tempat ke-28. Ranking ini menilai empat elemen iaitu sumber, persekitaran, jaringan dan hubungan antarabangsa dan keberhasilan.

Dalam konteks sumber iaitu perbelanjaan kerajaan dalam sektor pendidikan tinggi, Malaysia berada di tempat ke-12. Kedudukan ini menggambarkan peruntukan besar disediakan kerajaan bagi mengupayakan sektor pendidikan tinggi. Peruntukan ini tidak boleh dianggap sebagai perbelanjaan semata-mata sebaliknya pelaburan yang akan menentukan tahap daya saing negara dalam jangka panjang.

Sektor pendidikan tinggi adalah sektor paling kritikal negara. Sektor pendidikan tinggi menyediakan modal insan atau sumber manusia berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi keperluan pembangunan negara. Melalui sektor ini jugalah, hasil penyelidikan di universiti dapat mentrans- formasikan pembangunan ekonomi bertunjangkan inovasi dan kreativiti.

Sumbangan sektor pendidikan tinggi semakin penting apabila menjelang 2025, enrolmen pelajar dalam sektor pendidikan tinggi dijangka bertambah sehingga 2.5 juta orang berbanding 1.4 juta orang sekarang.

Kekal peranan sebagai hab inovasi

Selain menyediakan akses yang mencukupi, Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya universiti perlu kekal menjadi hab inovasi yang dapat menyumbang kepada penciptaan kemewahan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Bagi menjayakan sumbangan besar ini, peranan IPT perlu diperkukuhkan khususnya dalam konteks tadbir urus universiti. Tadbir urus universiti perlu ditingkatkan keupayaannya dengan perluasan kuasa autonomi. Melihat kepada kepentingan ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Buku Panduan Enhancing University Board Governance and Effectiveness pada 7 September lalu. Buku panduan yang turut dikenali sebagai UniTP Green Book ini dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama warga pendidikan tinggi.

Buku panduan UniTP Green Book adalah satu daripada lima buku panduan (playbook) bagi menjayakan Program Transformasi Universiti (UniTP) di universiti awam. Melalui buku panduan ini, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) diberikan mandat yang lebih jelas mengenai polisi dan prosedur yang bersesuaian bagi menyokong program transformasi universiti.

Ia berdasarkan tanda aras amalan terbaik pada peringkat pendidikan tinggi bertaraf dunia. Ini selari dengan amalan terbaik dunia dalam memperkukuhkan fungsi, peranan dan tanggungjawab LPU. Adalah diharap, dengan ada buku panduan itu, struktur dan operasi LPU akan bertambah cekap bagi menjana prestasi tinggi.

Perancangan strategik

Sebagai kumpulan yang mempunyai kedudukan dan autoriti besar universiti, LPU mempunyai peranan besar juga dalam membantu membangunkan universiti. Berdasarkan buku panduan UniTP Green Book, LPU mempunyai tiga peranan utama, iaitu mencalon dan menilai prestasi Naib Canselor, mengawasi kewangan dan penjanaan pendapatan universiti selain melindungi misi universiti.

Peranan baharu ini adalah penambahbaikan daripada lima peranan LPU sedia ada dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pindaan 2012. Lima peranan itu adalah mengadakan perancangan pengawasan strategik bercirikan pendidikan dan misi universiti, menggalakkan pengurusan yang cekap dan berkesan dalam mengadakan kajian semula yang menyeluruh mengenai operasi universiti, membangunkan hubungan dengan masyarakat, sektor korporat dan industri, memupuk hubungan global dan pengantarabangsaan berhubung pengajian tinggi dan penyelidikan serta memastikan pelaksanaan dan kepatuhan kepada perlembagaan, undang-undang dan dasar universiti.

Universiti yang cemerlang adalah universiti yang mandiri, iaitu mampu berdiri sendiri. Ini hanya boleh direalisasikan dengan autonomi melalui pengukuhan tadbir urus berasaskan kepada peranan baharu LPU. Peranan dan sumbangan universiti yang semakin bertambah memerlukan keupayaan LPU, Naib Canselor dan pengurusan tertinggi membuat keputusan pantas tanpa perlu bergantung kepada kerajaan.

Kita percaya universiti tidak seharusnya bergerak sebagai sebuah jabatan kerajaan biasa tetapi organisasi yang mempunyai kebebasan untuk mencari dan mencapai keputusan sendiri demi kecemerlangannya. Lebih-lebih lagi, peranan baharu LPU turut menyentuh soal melindungi misi universiti yang sememangnya untuk manfaat rakyat dan memacu daya saing negara.

Kemandirian universiti dilihat dari segi keupayaan menjana pendapatan sendiri. Seperti harapan Perdana Menteri, LPU dan Naib Canselor perlu membantu kerajaan mencari sumber kewangan sendiri bagi mengendalikan pengurusan universiti, termasuk menentukan strategi baharu penjanaan pendapatan yang lestari dan inovatif.

Sebagai gedung ilmu yang mempunyai peranan besar dalam pembangunan bangsa, universiti perlu bergerak pada tahap keupayaan yang tinggi. Kapasiti baharu dalam tadbir urus dengan pengukuhan peranan LPU akan dapat membangunkan universiti ke arah kecemerlangan.

Autonomi dan kebebasan yang diberikan mesti disertai dengan tanggungjawab dan akauntabiliti.

Penulis Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X