Ahad, 28 September 2014 | 12:10pm
REAKSI pengurus Manchester United, Louis van Gaal ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham United di Old Trafford, semalam. - Foto EPA

EPL: Van Gaal tak kisah kad merah Rooney

MANCHESTER: Bos Manchester United, Louis van Gaal enggan membincangkan kesesuaian Wayne Rooney selaku kapten selepas penyerang England itu diarah keluar padang ketika menentang West Ham United, semalam.

Hanya sehari sebelum tahun ke-10 bersama United, Rooney, 28 menerima kad merah keenam sepanjang keriernya kerana mengasari Stewart Downing pada minit ke-59 perlawanan.

Kekasaran itu berlaku di kawasan West Ham yang jauh daripada kawasan bahaya United yang mencipta persoalan kepada Van Gaal mengenai kebijaksanaannya melantik Rooney sebagai kapten namun dia enggan membuka mulutnya.

United begitupun menang perlawanan itu 2-1.

"Bagi saya, ia bukanlah satu analisis yang baik oleh kamu ataupun soalan yang baik," kata pengurus kelahiran Belanda itu kepada wartawan yang memberi soalan itu ketika sidang media.

"Ia tidak betul bagi saya (untuk menjawabnya)."

PENYERANG Manchester United, Wayne Rooney melangkah keluar daripada padang selepas menerima kad merah kerana mengasari pemain West Ham United, Stewart Downing pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam. - Foto AFP

Rooney membuka tirai jaringan yang juga gol ke-176 miliknya dalam EPL sepanjang kariernya pada minit ke-5.

Penyerang Belanda, Robin van Persie menggandakan jaringan United namun Diafra Sakho meledak jaringan buat West Ham namun gagal membantu kelab itu mencuri satu mata apabila jaringan Kevin Nolan pada lewat perlawanan dibatalkan akibat ofsaid.

Tindakan Rooney menjadi perbualan hangat selepas perlawanan itu namun bekas pemain Everton itu jelas masih mendapat simpati Van Gaal.

"Wayne sentiasa datang kepada saya," kata Van Gaal. "Mungkin kamu tidak mahu mendengarnya namun mungkin kamu tahu dalam bola sepak profesional , kamu membuat kesalahan profesional dan saya sudah menyaksikan hari ini sebanyak lima atau enam kali.

"Wayne juga melakukannya, secara profesional dan sebagai jurulatih, saya tidak dapat melihatnya namun dia melakukannya dengan amat jelas. Mungkin itu kesilapan terbesarnya.

"Saya pernah melihat kesalahan profesional seperti ini tanpa dikenakan sebarang kad, kuning atau merah jadi ia sedikit aneh.

"Dia (Rooney) mungkin hanya mahu menghalangnya," kata Van Gaal mengulas tindakan Rooney yang membuat sepakan rakus kepada Downing. "Dia perlu menerangkannya.

"Dia berkata kepada saya dia memang mahu melakukannya. Kami betul, saya juga melihatnya namun kamu tidak boleh mengubahnya lagi. Ia satu kesilapan yang besar kerana dia bermain dengan amat baik. Saya gembira dengannya. Dia menjaringkan gol," katanya.

Dalam pada itu, jurulatig West Ham, Sam Allardyce berkata kekasaran yang dilakukan Rooney sememangnya klinikal.

"Sama ada ia kad merah atau kuning mengikut peraturannya, dia sudah melakukan kekasaran. Sama ada ia kad merah bergantung kepada peraturan, hanya Mike Riley (Ketua Lembaga Perlawanan Profesional Rasmi) boleh menerangkan kepada kamu, bukan saya," katanya. - AFP

Berita Harian X