Ahad, 20 September 2015 | 11:21pm

Menara Eiffel Tower ditutup, suspek pengganas dilihat bawa beg sandang

MENARA Eiffel. - Foto AFP

PARIS: Menara Eiffel yang terkenal di sini ditutup kepada semua pelawat hari ini selepas seorang suspek pengganas membawa 'beg sandang besar' dilihat menaiki ikon paling popular Perancis itu.

Polis antipengganas disokong helikopter dilihat di mercu tanda terkenal itu susulan amaran diberi kira-kira jam 9 pagi.

Satu sumber polis yang membantu mengosongkan menara itu berkata ada laporan seorang lelaki membawa beg sandang menaiki mercu tanda itu.

Satu sumber lain polis berkata lelaki tidak dikenali itu dilihat dalam kawasan menara sekurang-kurangnya sejam sebelum ia dibuka. Menjelang tengah hari, lelaki terbabit masih tidak dijumpai.

Beratus orang sudah menunggu untuk naik, namun dimaklumkan mengosongkan kawasan itu, oleh kerana kaunter tiket ditutup.

Menara itu kerap menerima ancaman kumpulan pengganas termasuk al-Qaeda dan militan Kumpulan Negara Islam (IS) dengan kawalan keselamatan dipertingkat sejak serangan tiga lelaki bersenjata di bandar itu Januari lalu.

Satu halangan polis dibentuk di sekitar menara dan orang ramai dipindahkan ke tebing berhampiran Sungai Seine.

Ada beberapa amaran bom diterima di Menara Eiffel itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan Perancis ketika ini berada dalam keadaan berjaga-jaga peringkat tinggi.

Ketika pemburuan lelaki itu diteruskan, polis tidak menolak kemungkinan dia mungkin seorang ahli payung terjun ekstrem yang berharap untuk terjun dari struktur itu.

"Ia pernah berlaku pada masa lalu. Penerjun menyembunyikan alatannya pada malam sebelumnya dan kemudian masuk ke dalam menara dan terjun sambil merakam video," kata sumber polis sama.

Pada tahun 2005, seorang penerjun dari Norway maut ketika cuba melompat dari menara berkenaan.

Menara besi setinggi 320 meter itu dibina untuk Pameran Dunia pada tahun 1889, dan kemudian bertukar sebagai simbol berprestij Perancis moden. -AGENSI

Berita Harian X