Isnin, 21 September 2015 | 12:00am

Sabun daun ketapang


PENGARAH PTSB, Mohd Noor Shahudin (dua dari kanan) bertukar memorandum persefahaman dengan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Taman Hi-Tech, Suriati Mohamad.

KULIM: Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) menghasilkan sabun badan berasaskan daun ketapang, Termanilia Cattappa, bagi membantu merawat penyakit alahan kulit.

Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam PTSB, Noor Liza Ramli, yang menyelia projek penghasilan inovasi itu berkata, penghasilan sabun herba berkenaan dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan kimia dan kos rawatan alahan kulit yang mahal.

"Cetusan idea penghasilan produk sabun ini daripada masalah alahan dan penyakit kulit dihidapi pelajar yang mengetuai projek inovasi ini, dan mengadu terganggu dengan penyakit itu yang berulang selain kos rawatan secara perubatan moden amat tinggi.

"Kita tidak mampu menghalang masalah ini daripada berulang kerana ia turut disebabkan faktor alam sekitar tetapi boleh mengurangkan beban perbelanjaan kos rawatan dengan menggunakan bahan semula jadi," katanya.

Noor Liza berkata, daun ketapang mengandungi 12 jenis tanin atau antioksidan yang larut dalam air termasuk asid galik, asid clagik, korinlagen serta asid carbicylic brevifolin.

Beliau berkata, daun itu sebelum ini sudah digunakan secara tradisional bagi menangani penyakit kulit termasuk dicampur dalam air mandian bagi menghilangkan masalah ruam atau dihancurkan dan disapu pada kulit.


SEBAHAGIAN daripada bahan yang dicampurkan dengan air daun ketapang bagi menghasilkan sabun herba.

Paras asid

Katanya, memanfaat khasiat daun itu dalam bentuk sabun lebih memudahkan penggunaannya dan membabitkan proses ringkas iaitu dengan membekukan air ketapang yang dicampur dengan beberapa bahan.

Beliau berkata, selain campuran bahan tertentu yang dapat memastikan paras asid dan alkali yang sesuai, daun pandan digunakan bagi menggantikan pewarna sementara minyak kelapa, minyak kelapa sawit dan minyak zaiton dimasukkan bagi menambah kepekatan.

"Projek inovasi ini dijalankan dengan kerjasama sekolah angkat PTSB iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman HiTech yang membenarkan tiga pelajarnya, Noor Syazawani Saari, Nurmaisarah Ahmad Daud dan Siti Husna Hazri menjayakan projek ini.

"Pendekatan ini sekali gus menyemai minat pelajar terbabit dalam aktiviti penghasilan produk inovasi serta membolehkan PTSB berkongsi kepakaran sepanjang setahun projek penyelidikan dilaksanakan," katanya.

Sabun herba itu sudah mula dipromosi termasuk menerusi Pameran Reka Cipta dan Inovasi Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Mac lalu dan mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada pengusaha jualan langsung.


SABUN Termanilia Cattappa dihasilkan bagi merawat penyakit alahan kulit.
Berita Harian X