Isnin, 21 September 2015 | 12:10am
VANIDAH dipeluk keluarganya selepas menerima ijazah ada majlis konvokesyen ke-17 di OUM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
VANIDAH Imran menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris pada majlis konvokesyen ke-17 OUM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
VANIDAH bersama keluarga pada majlis konvokesyen OUM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
VANIDAH menjadi artis pertama yang menamatkan pengajian di OUM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Vanidah Imran bimbang generasi Y kini hilang jati diri


KUALA LUMPUR: Pelakon Vanidah Imran bimbang dengan fenomena semasa yang mana pada pendapatnya sebahagian generasi muda atau Gen Y sekarang ini sudah hilang jati diri dan rasa hormat sesama manusia.

Keadaan itu mungkin diburukkan dengan dominasi media sosial yang dilihat menyediakan wadah kepada golongan berkenaan untuk pantas menyalahgunakan teknologi itu ke arah negatif termasuk menjadi wira papan kekunci.

Menyuarakan kebimbangan itu, Vanidah, 42, yang baharu sahaja menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris pada majlis konvokesyen ke-17, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, berpendapat majoriti Gen Y kini bebas mengata apa saja tanpa mempedulikan langsung sensitiviti masyarakat.

"Ada yang pantas menjadikan medium media sosial sebagai ruang untuk lagi mudah mengata itu dan ini. Bukan nak katalah, kalau zaman saya muda dulu, hal sebegini tak terlalu ketara terjadi. Zaman saya dahulu, kita tak tegur orang sesuka hati. Tapi (kini) dengan adanya media sosial, mereka bebas dan terbuka mengutuk orang.

"Malah kehadiran wira papan kekunci atau keyboard warriors sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membuatkan saya sendiri naik geram kalau baca komen atau status yang diberikan.

"Dalam hati macam gatal sahaja tangan dan mulut ini nak taip atau cakap, cantiknya bahasa kamu sekarang. Inilah realiti yang cukup menakutkan. Ia kian menular dan sangat meruncing," katanya.

Malah bagi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang kaunseling pula Februari depan, dia lebih terkejut apabila mendapati pemberi komen negatif di media sosial adalah kalangan mereka yang bersekolah.

"...yang muda langsung tak menghormati mereka yang lebih tua. Mereka tak sensitif dengan keadaan," katanya.

VANIDAH bersalam dengan Presiden OUM, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali (kanan) sambil diperhatikan Naib Presiden Kanan OUM, Prof Dr. Mansor Fadzil (kiri) selepas majlis konvokesyen di PWTC. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bercakap mengenai komen negatif di media sosial, sudah tentu antara yang menjadi mangsa keyboard warriors adalah golongan artis. Artis mungkin boleh cakap mereka tak peduli apa yang diperkatakan. Tapi hakikatnya sedikit sebanyak ia akan memberi kesan tersendiri.

Sehubungan itu, kata Vanidah, golongan artis perlu bijak. Baginya, dalam hal itu jika perlu, janganlah memberi ruang kepada wira papan kekunci untuk mengata dan mengecam.

"Dalam hal ini, artis janganlah memuat naik gambar atau apa sahaja yang boleh mengundang keinginan wira papan kekunci untuk menghentam. Jadi, artis kena fikir semasak-masaknya sebelum memuat naik sesuatu. ..tapi ada juga kes yang saya lihat, artis memuat naik sesuatu yang biasa sahaja tetapi tetap mengundang wira papan kekunci untuk cari pasal.

"Lebih kronik saya lihat budaya kita kini juga sudah bercampur aduk. Ada yang nak ikut budaya Amerika Syarikat contohnya. Pendek kata, generasi sekarang sesuka hati nak jadi apa ikut kepala masing-masing. Jati diri kita kian terhakis. Di mana adab dan kesopanan kita sebagai orang Malaysia. Cuba lihat negara Korea dan Jepun, jati diri mereka masih kuat.

RASHIDI Ishak membetulkan jubah isterinya pada majlis konvokesyen OUM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Sekarang ini, bahasa dan kata-kata tak dijaga. Semua itu mula hilang. Orang seperti ini fikir gaya kebaratan itu sangat 'in'. Hakikatnya tak, kita kena kembalikan budaya murni itu saat ini," katanya.

Bagaimana pula dengan artis baharu yang dilihat tidak bijak menangani isu kontroversi dan cepat melatah? Sejauh mana Vanidah melihat artis berpendidikan memberikan contoh terbaik dalam berdepan segala isu mendatang dalam senario sebegini.

"Hal ini susah nak komen. Ia sangat subjektif. Semuanya berbalik kepada diri sendiri. Kita belajar daripada pengalaman. Saya sendiri pernah muda. Saya pernah jadi artis baharu. Tapi dalam apa hal, jangan cepat melatah. Apa nak cakap atau jawab, kena fikir semasak-masaknya. Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata binasa badan. Semestinya tugas wartawan bertanya soalan dan kita sebagai artis kena bijak menjawab," katanya.

Vanidah turut ditanya apakah dia selesa jika anaknya, Mikail Aimran dan Mariyam Rashika memilih untuk mengikut jejaknya di arena seni. Kata Vanidah, dia terbuka dalam soal itu.

Dia tak halang mereka jika mahu ke arah itu. Mikail dan Mariyam pernah berlakon pentas untuk teater Supermokh dan Siti Di Alam Fantasi. Bagi Vanidah, teater menjadi platform untuk anak-anaknya mengenali diri, jaga disiplin kerana perlu bekerjasama dengan orang lain selain perlu peka dan mendengar.

VANIDAH Imran dan suami, Rashidi Ishak pada majlis konvokesyen ke-17 OUM. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Keyakinan sebegini penting jika mereka mahu membabitkan diri dalam aktiviti sekolah seperti berpidato, bersajak atau bersyarah di depan orang. Malah saya turut mendedahkan mereka dengan dunia muzik. Kedua-dua mereka bermain piano. Apa yang saya lakukan berbeza dengan cara bapa saya mendidik anak. Ikutkan sampai sekarang bapa saya tak benarkan saya jadi pelakon. Bapa hanya nak kami belajar.

"Saya yakin ibu bapa dahulu pun tak bagi anak mereka jadi orang seni. Mereka nak anak mereka jadi doktor, jurutera atau peguam. Jadi dalam hal ini, saya tak ulang apa yang dilakukan bapa. Saya biarkan anak meneroka minat dan apa yang mereka nak buat," katanya.

Dunia lakonan pula akui Vanidah tak akan ditinggalkan begitu saja. Minat dalam dunia itu masih ada.

"Saya masih akan berlakon dan bekerja dengan mereka yang saya ingin dampingi. Cuma pada waktu sekarang, tumpuan saya semestinya pada pengajian peringkat Sarjana mulai Februari tahun hadapan selama dua tahun. Saya memang nekad nak sambung pengajian Sarjana ini kerana suatu hari nanti, saya mahu di hadapan nama saya ada gelaran doktor (falsafah) ...insya-Allah," katanya.

Info Vanidah Imran

  • Pernah meraih Trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20.
  • Jika diikutkan, selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Vanidah menerima tawaran dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di London, United Kingdom (UK). Namun, ketika itu, Vanidah menolak kerana tak pernah berjauhan dengan keluarga.
  • Pernah memikul mandat sebagai pengacara Nona di TV3, beberapa tahun lalu.
Berita Harian X