Isnin, 21 September 2015 | 12:11am

Botak Chin serang wadar ketika cuci tong najis


PADA akhir 1970-an dan era awal 1980-an, nama penjenayah berbahaya, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin sering menjadi sebutan. Bahkan jika kanak-kanak terlalu nakal atau degil, mereka kerap diumpamakan 'jahat seperti Botak Chin'.

Begitulah gambaran betapa nama Botak Chin sering menjadi perbandingan sehinggalah namanya semakin lenyap dalam ingatan selepas nafas terakhirnya menemui noktah di tali gantung di Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

Bayangkan, berapa ramai pegawai dan anggota polis yang menjadi korban untuk membanteras kegiatan jenayah dan menangkap Botak Chin sehinggalah dia dipenjarakan dan disabit kesalahan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Huru-hara yang dicetuskan Botak Chin tidak pernah berakhir walaupun sudah dikurung di sebalik jeriji besi dan ditempatkan di sel banduan akhir yang menunggu masa menjalani hukuman gantung.

Akibat sekatan dan pergerakannya terhad, Botak Chin mempunyai sasaran baru. Sebelum mati, dia mahu mencetuskan huru-hara terakhir dengan sasaran mahu membunuh sekurang-kurangnya dua orang anggota atau pegawai penjara.

Sasaran paling mudah ialah wadar atau kakitangan Penjara Pudu yang memang diakui cukup berisiko kerana di situlah ditempatkan semua penjenayah tegar termasuk perompak, pembunuh, perogol dan juga komunis.

BOTAK Chin yang patah kedua-dua belah tangan dikawal ketat anggota polis. - Foto fail NSTP
BOTAK Chin yang patah kedua-dua belah tangan dikawal ketat anggota polis. - Foto fail NSTP

PENGUASA Penjara Pusat Koreksional Kamunting, Perak, Turedy Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGUASA Penjara Pusat Koreksional Kamunting, Perak, Turedy Abdullah. - Foto Zunnur Al Shafiq

Detik 1 Januari 1981 cukup diingati Penguasa Penjara Pusat Koreksional Kamunting, Perak, Turedy Abdullah yang pernah bertempur dengan Botak Chin di dalam bilik kecil di Penjara Pudu sehinggalah kedua-duanya cedera parah.

Ketika itu, Turedy berusia 21 tahun dan sebagai wadar penjara yang baru, beliau ditugaskan mengiringi Botak Chin. Pada awal tahun baru 1981, berlakunya peristiwa ngeri yang hampir meragut nyawa Turedy bersama dua lagi rakan setugas, Sarjan Abdullah Ahmad dan Koperal Abdul Rafar Manaf.

Turedy baru dua tahun bertugas manakala Abdullah sudah hampir mencecah usia persaraan dan kerap keluar masuk ke hospital kerana kurang sihat akibat penyakit kencing manis. Rafar yang berusia awal 40-an pula dianggap sebagai senior yang cukup berpengalaman.

Mengikut rutin harian banduan akhir, setiap pagi mereka wajib mengangkut tong najis yang ditempatkan di sel masing-masing untuk dibersihkan sebelum mereka dibenarkan mandi, bersenam dan masuk semula ke dalam sel.

Di lorong bilik banduan akhir, Botak Chin mendapat perhatian istimewa kerana dia adalah banduan pertama akan dibenarkan keluar sel untuk membersihkan tong najis dan bersenam. Selepas dia selesai, barulah banduan lain akan dibawa keluar. Dia cuma dibenarkan keluar sel sejam sehari dan terpaksa menghabiskan baki masa 23 jam di dalam sel. Dia tidak dibenarkan bercampur dengan banduan lain untuk mengelak kejadian tidak diingini.

OPERASI memburu Botak Chin di sebuah kilang papan pada 16 Februari 1976. - Foto fail NSTP
OPERASI memburu Botak Chin di sebuah kilang papan pada 16 Februari 1976. - Foto fail NSTP

"Pada pagi itu, apabila kunci sel dibuka, beberapa wadar mengiringi Botak Chin. Apabila sampai ke kawasan bilik air, dia mula membersihkan tong dan mesti balik semula ke dalam sel dalam tempoh beberapa minit saja.

"Ketika membersihkan tong najis, dia mengeluarkan senjata tajam yang disorok di dalam tong najis. Tiada siapa menyangka dia menyimpan senjata tajam di situ dan dia terus menikam Pak Lah (Sarjan Abdullah)," kata Turedy memulakan bicara.

Akibat dua tikaman tepat ke dada, Pak Lah terus tumbang dan Koperal Ghafar yang tergamam dengan tindakan Botak Chin itu juga ditikam beberapa kali dan rebah berhampiran. "Dia ini macam harimau. Dia akan serang lawan yang paling lemah. Sebab itulah dia tikam Pak Lah," kata Turedy.

Turedy yang berada agak jauh daripada mereka berdua terkejut dan cuba menyelamatkan rakan setugas. Ketika itulah Botak Chin mengancam beliau dengan mengatakan 'I want to kill you' (saya akan bunuh awak).

"Saya kata, cubalah. Saya juga akan bunuh awak. Apabila melihat Sarjan dan Koperal sudah berlumuran darah, perasaan takut terus hilang dan semangat saya tiba-tiba memuncak. Di dalam hati, saya katakan, ini soal hidup atau mati. Sama ada dia atau saya yang akan mati.

BOTAK Chin cedera parah di bahagian kepala dibawa ke HKL untuk rawatan. - Foto fail NSTP
BOTAK Chin cedera parah di bahagian kepala dibawa ke HKL untuk rawatan. - Foto fail NSTP

"Dia memang kuat dan lasak, tetapi ketika itu saya juga masih muda dan ada sedikit ilmu silat untuk mempertahankan diri. Beberapa kali dia cuba menikam saya dengan besi tajam sepanjang tiga inci tetapi saya sempat mengelak," katanya.

Di satu sudut bilik kecil yang dianggarkan seluas 10 kaki persegi itu, Turedy ternampak batang penyapu moop lantai. Itulah senjata yang digunakan untuk mempertahankan diri dan menyerang Botak Chin.

Beliau mengakui Botak Chin memang handal dalam seni mempertahankan diri ala Kung Fu dan beberapa kali mukanya nyaris terkena sepakan lutut Botak Chin.

Namun, Turedey juga cekap mengesan kelemahan lawan kerana berdasarkan rekod, Botak Chin pernah patah tangan kiri ketika bertempur dengan polis sebelum ini. Jadi, beliau kerap menyerang di bahagian itu untuk melemahkan lawan dan mencederakan kepalanya.

"Kami bertempur dalam masa hampir 10 minit. Saya berjaya memukul kepalanya beberapa kali termasuk menggunakan bekas air mop. Kepalanya berdarah dan dia tumbang ke lantai.

"Saya sangkakan dia sudah pengsan kerana langsung tidak bergerak. Tetapi saya silap kerana dia cuma berpura-pura pengsan. Ketika saya membongkok untuk mengangkat Pak Lah, dia bangun dan menikam belakang saya beberapa kali.

"Satu tikaman tepat ke tulang belakang, satu terkena pada buah pinggang kiri dan saya terus jatuh bersama Pak Lah. Botak Chin juga jatuh kerana cedera parah dan hilang banyak darah," kata Turedy yang merangkak keluar dari bilik air untuk meminta bantuan.

Selepas merangkak hampir 100 meter sehingga ke pos pengawal terdekat, barulah pasukan bantuan menyerbu ke bilik air tadi untuk menyelamatkan dua rakan mereka dan menahan semula Botak Chin.

TUREDY menunjukkan kesan tikaman yang dilakukan oleh Botak Chin. - Foto Zunnur Al Shafiq
TUREDY menunjukkan kesan tikaman yang dilakukan oleh Botak Chin. - Foto Zunnur Al Shafiq

Ketika pasukan bantuan masuk, Botak Chin yang sudah lemah sekali lagi berlakon seolah-olah pengsan dan melumurkan darah ke seluruh muka dan badannya dengan tujuan mengelak daripada terus dibelasah.

Beberapa anggota bantuan menguis badan Botak Chin yang terbaring di lantai tetapi langsung tidak bergerak sehingga dia ditahan semula dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan.

Akibat serangan itu, Turedy terlantar di katil HKL selama dua minggu dan kesan tikaman di tulang belakang menyebabkan beliau tidak mampu berdiri tegak ataupun mengangkat barangan berat sehinggalah ke hari ini.

Disangkakan, selepas Botak Chin ditahan semula, kes itu akan berakhir tetapi malangnya, Turedy terus menjadi sasaran pengikut penjenayah itu yang berada di luar penjara.

Selepas dibenarkan keluar hospital, Turedy pernah dua kali menerima surat ugutan bunuh yang dihantar ke kediamannya di berek bujang, Kompleks Penjara Pudu.

"Surat itu ditulis dengan darah. Mereka ugut nak bunuh saya. Surat kedua itu juga ditulis dengan darah bersama sebutir peluru. Atas faktor keselamatan, polis melarang saya keluar dari kompleks penjara selama beberapa bulan," katanya.

Hingga kini, Turedy yang mencecah usia 55 tahun dan berpengalaman selama 36 tahun berkhidmat dengan Jabatan Penjara mengakui tidak pernah berdepan dengan mana-mana banduan yang dianggap cukup ganas seperti Botak Chin.

ANGGOTA polis mengepung tempat persembunyian Botak Chin di sebuah kilang papan. - Foto fail NSTP
ANGGOTA polis mengepung tempat persembunyian Botak Chin di sebuah kilang papan. - Foto fail NSTP

IKUTI PENGALAMAN ABDUL RAFAR YANG BERKONGSI PENGALAMAN SAMA BERDEPAN BOTAK CHIN DALAM SIRI KEDUA, ESOK

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X