Isnin, 21 September 2015 | 3:46pm
ALMARHUMAH Raja Puan Muda Kedah, Tunku Raudzah Sultan Hisamuddin Alam Shah.

Raja Puan Muda Kedah mangkat pagi tadi

ALOR SETAR: Raja Puan Muda Kedah, Tunku Raudzah Sultan Hisamuddin Alam Shah, 86, mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini 10.15 pagi tadi, kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Sehubungan itu, Mukhriz turut mengesahkan tempoh berkabung selama tujuh hari, dengan bendera negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibar separuh tiang selama tiga hari, bermula hari ini.

Mukhriz berkata, Almarhumah yang juga isteri kepada Raja Muda Kedah, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit, dekat sini, jam 3 petang, sebelum disemayamkan untuk penghormatan terakhir pada jam 4 hingga 5 petang.

Jenazah Almarhumah Raja Puan Muda Kedah kemudian akan dibawa melalui Lebuhraya Darul Aman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah dan Jalan Langgar sebelum ke Makam Diraja untuk disemadikan.

"Saya turut berasa dukacita dan mengucapkan takziah pada Raja Muda Kedah atas kemangkatan isteri Baginda, " katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini.

Almarhumah Tengku Raudzah adalah Puteri sulung kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah dan berkahwin dengan Tunku Abdul Malik pada 16 Julai 1956 di Istana Bukit Kota, di sini.

Berita Harian X