Selasa, 22 September 2015 | 3:10pm

Ada apa dengan gaun nikah Maya Karin


GAUN nikah Maya Karin dipakai adiknya Irina (gambar atas) pada hari pernikahannya sekitar Disember tahun lalu. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Pelakon Maya Karin yang bakal muncul dengan filem Jwanita arahan Osman Ali bermula 24 September ini sebenarnya mempunyai cerita menarik di sebalik gaun perkahwinan rekaan Syaiful Baharim yang pernah dipakainya ketika berkahwin di Villa Corte de Lago, Bellagio, Itali pada 14 Ogos 2008. Namun perkahwinan itu sudah berakhir Julai 2010.

Tanpa disangka, gaun sama dipakai adiknya Irina pada hari pernikahannya dengan Alex sekitar Disember tahun lalu. Pasangan itu bersanding pada April lalu. Seterusnya Maya ke Greece pada Ogos untuk bersama-sama meraikan pengantin. Ternyata gaun pengantin itu memberikan nilai sentimental buat Maya.

"Pastinya saya pernah memakai gaun itu pada hari yang cukup bermakna dalam hidup saya. Cuma jodoh tak panjang. Ikutkan selepas bercerai, saya ada kembalikan gaun itu kepada perekanya (Syaiful Baharim). Saya katakan kepadanya kenapa tidak dipamerkan gaun itu atau mungkin dijual sahaja. Lucunya selepas setahun disimpan di butiknya, ia dikembalikan kepada saya.

"Saya pun menyimpannya semula di dalam rumah di satu sudut yang bermakna. Nak dijadikan cerita, adik saya (Irina) bertemu lelaki idaman hatinya. Biasalah orang apabila sudah jatuh cinta, ..penuh drama juga sebenarnya. Dalam masa yang ringkas, mereka bertunang dan kemudiannya berkahwin. Lalu terbit idea untuk saya membiarkan adik saya pula menggayakan gaun nikah itu.

"Lagipun saya pakai baju nikah itu sekejap sahaja. Dalam dua tiga jam. Selepas menawarkan kepada adik, dia bersetuju dan gembiranya bukan kepalang. Dia pun tak sangka yang saya akan benarkan dia memakainya apatah lagi memakai gaun pereka fesyen terkenal. Setakat ini gaun itu akan terus berada dalam simpanan keluarga saya. Mana tahu kalau ada anak perempuan yang dilahirkan dalam keluarga kami, boleh pakai sekali lagi," katanya.


GAUN yang dipakai Maya Karin pada 2008. - Foto ihsan KIDCHANSTUDIO

Mengenai filem Jwanita, Maya memegang watak wanita psiko seperti nama judul filem itu. Selain Maya, ia turut dibintangi Bront Palarae, Marsha, Cristina Suzanne. Ironinya elemen seram bukan sesuatu yang asing kerana sebelum ini Maya cukup terkenal dengan watak hantu Pontianak Harum Sundal Malam.

Ternyata lakonannya dipuji ramai. Penghayatan, penjiwaan dan emosi yang dilontarkan Maya Karin dalam filem berkenaan cukup mengagumkan sehingga sukar mencari kelemahan pada lakonannya.

"Saya baharu saja balik dari Greece dan Itali daripada percutian dan meraikan adik saya dan suaminya di sana. Jadi belum sempat membaca ulasan atau mendengar cerita kawan yang sudah menontonnya. Jika ada memuji, Alhamdulillah. Filem ini bermula sebagai filem indie yang tiba-tiba muncul dalam kepala abang Osman. Projek ini dihasilkan dengan dana yang agak kecil tetapi memerlukan kreativiti untuk dilunaskan.

"Sedih juga sebenarnya kerana buat masa ini, Jwanita filem terakhir saya. Sudah tiada lagi stok filem mendatang. Saya sudah dua tahun tak menjalani penggambaran filem. Selepas ini ada watak kecil yang ditawarkan untuk saya dalam sebuah filem berpaksikan seni atau 'art'. Apapun jangan lupa menonton filem Jwanita di pawagam bermula Aidiladha nanti ya!," katanya.

Berita Harian X