Rabu, 23 September 2015 | 12:01am

APMM kukuhkan keselamatan negara di Sandakan dan Tawau


KAPAL KM Satria dan KM Bijak yang tiba di Sandakan untuk membantu Ops Pluto Timur. - Foto ihsan APMM

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menempatkan dua lagi kapalnya di Sandakan dan Tawau, Sabah bagi membantu operasi mengekang jenayah, sekali gus memperkukuh aspek keselamatan dalam kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Dua kapal berkenaan iaitu Kapal Maritim (KM) Satria dari Johor dan KM Bijak dari Sarawak tiba pada 7 September lalu serta memulakan operasi di kawasan perairan Pulau Langkayan dan Pulau Jambongan, dekat Beluran.

KM Satria memiliki kekuatan empat pegawai dan 13 anggota, manakala KM Bijak mempunyai enam pegawai serta 18 anggota.

Kedua-dua kapal itu dihantar ke pantai timur Sabah bagi membantu Ops Pluto Timur di kawasan perairan Sandakan, Tawau dan Semporna dalam tempoh dua minggu sebelum mengakhiri operasi pada 21 September.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 17 (DM17), Kapten Maritim A Razak Abd Rahman, berkata kehadiran kedua-dua kapal itu juga bagi membantu menangani masalah kekurangan aset yang dialami pihaknya dalam melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan keselamatan di perairan.


ANTARA aset yang dimiliki APMM untuk mengawal perairan Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

"Usaha diambil untuk menghantar bantuan kapal ke kawasan ESSZONE susulan pelbagai kejadian jenayah rentas sempadan yang berlaku, termasuk insiden penculikan dua lagi warga kita di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Mei lalu.

"Kehadiran kapal ini akan meningkatkan keupayaan APMM untuk memperkukuh kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan yang bersempadan negara jiran, sekali gus mengekang jenayah rentas sempadan daripada terus berlaku," katanya.

Razak berkata, ketika ini, hanya empat kapal APMM boleh beroperasi sepenuhnya di kawasan perairan Sandakan, Lahad Datu, Kinabatangan dan Beluran iaitu KM Rumbia, KM Feringgi, KM Serasan serta KM Tebrau.

"Amat mustahil untuk kita mengekang jenayah di laut dalam keadaan kekurangan aset sedangkan kawasan pesisir pantai kita amat luas iaitu 1,700 kilometer persegi dan memerlukan sekurang-kurangnya 156 kapal untuk mengawal setiap inci perairan.

"Kita juga berharap ada penambahan aset menjelang hujung tahun ini bagi membantu usaha mengawal perairan daripada dibolosi penjenayah rentas sempadan," katanya.


ANGGOTA KM Bijak menurunkan sauh bagi membolehkan kapal berlabuh di pangkalan jeti APMM di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Pegawai Memerintah KM Satria, Left Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng, berkata ia adalah kali pertama KM Satria terbabit dalam operasi di Sabah selepas kapal itu diserahkan oleh Kerajaan Australia kepada Malaysia pada April lalu.

Katanya, dengan kelengkapan canggih seperti radar dan Sistem Penentu Kedudukan Sejagat (GPS), ia memudahkan usaha mengesan kegiatan jenayah di laut.

"Aset ini amat sesuai beroperasi di kawasan yang bersempadanan dengan negara jiran seperti Sabah kerana memiliki kemudahan canggih. Kami berharap mampu membantu usaha negeri ini mengekang kegiatan jenayah di perairan terutama rentas sempadan," katanya.

Pegawai Memerintah KM Bijak, Left Komander Maritim Nicholas Jugah Anak Sanji, berkata ia juga kali pertama KM Bijak membantu operasi di perairan Sabah.

Katanya, mereka berbesar hati untuk membantu operasi di negeri ini terutama dalam kawasan perairan 'panas' yang sering berlaku kegiatan jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan dan penculikan.

"Biarpun di Sarawak sendiri kami mengalami kekangan dari segi aset, namun kami bersedia membantu mana-mana operasi demi mengawal keselamatan perairan negara," katanya.


DARI kiri; Eizanizam, Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 17 (DM17), Kapten Maritim A Razak Abd Rahman dan Nicholas Jugah pada sidang media di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

INFO:

  • KM Satria memiliki empat pegawai dan 13 anggota
  • KM Bijak memiliki enam pegawai dan 18 anggota
  • Luas pesisir pantai di Sabah iaitu 1,700 kilometer persegi
  • Memerlukan 156 kapal untuk mengawal setiap inci perairan
  • KM Satria diterima daripada Kerajaan Australia pada April 2015
Berita Harian X