Rabu, 23 September 2015 | 12:18am

8 sekawan sehati sejiwa walaupun berbeza bangsa, agama


SALING memahami antara satu sama lain, selain hormat-menghormati budaya serta anutan agama pihak lain.

Demikian resipi keharmonian yang menjadi pegangan lapan sekawan membabitkan pelbagai bangsa dari Taman Mahsuri, di Jitra, Kedah, yang bukan sahaja berjaya mengukuhkan perpaduan, malah turut mengelak risiko berlakunya perselisihan faham.

Tidak hairanlah ikatan persahabatan yang wujud dalam kalangan empat individu Melayu, Ahmad Shaker Ahmad, 54; Zainon Bakar, 58; Romli Ibrahim, 59 dan Mat Isa, 64, bersama empat rakan berbangsa lain iaitu A Krishnan, 57 dan S Balakrishnan, 65 (India), 57; Cham Nat, 59 (Siam) dan Ong Hooi Keng, 52 (Cina), begitu menebal.

"Hubungan kami bukan setakat jiran tetangga, tetapi kami anggap satu sama lain sebagai saudara. Jika ada antara kami ditimpa masalah atau kesusahan, masing-masing sedia membantu," kata Ahmad Shaker.

Perkataan perpaduan bukan baharu bagi lapan sekawan terbabit yang sudah lebih sedekad hidup bersama, malah amalan berpakat dan bermusyawarah sememangnya sebati dalam memastikan semangat setia kawan antara mereka terus mekar. 

SALING memahami antara satu sama lain, selain hormat-menghormati budaya serta anutan agama pihak lain adalah resipi keharmonian yang menjadi pegangan pelbagai bangsa dari Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam
SALING memahami antara satu sama lain, selain hormat-menghormati budaya serta anutan agama pihak lain adalah resipi keharmonian yang menjadi pegangan pelbagai bangsa dari Taman Mahsuri, Jitra, Kedah. - Foto Sharul Hafiz Zam

Saban hari jika tiada sebarang aktiviti keramaian seperti kenduri-kendara atau perayaan, lapan sekawan ini pasti akan berhimpun di kedai kopi di Bandar Darulaman. Sambil minum kopi atau bermain dam, mereka juga berbincang mengenai hal semasa, termasuk cerita mengenai keluarga masing-masing dan kawasan kejiranan mereka.

Ahmad Shaker berkata, setiap seorang daripada mereka tidak pernah mempersoalkan aktiviti atau upacara agama rakan lain, sebaliknya membantu dan sering bertanya mengenainya supaya mereka lebih faham dan memudahkan urusan bertolak-ansur antara satu sama lain.

"Azan Subuh contohnya, rakan kami yang bukan Islam tidak pernah membangkitkan isu ini walaupun rumah mereka berhampiran surau. Bagi mereka tidak guna mempersoalkan perkara yang berlaku dalam masa lima minit, tetapi kesannya tidak dapat diselesaikan bertahun-tahun lamanya.

"Begitu juga kami...apa sangat dengan upacara agama lain yang sekali-sekala dilakukan...bunyi kuat pun sekejap dan jika kita terima dengan hati terbuka, kita akan terbiasa...mereka juga akan hormat dengan kita sebagai orang Islam. Daripada marah dan mempersoalkan, lebih baik kita tanya dan berbual mengenainya supaya masing-masing lebih faham," katanya.

Hal sama diakui Balakrishnan. Beliau bangga dengan persefahaman tinggi yang menebal antara mereka. Masing-masing memahami antara satu sama lain, terutama dalam hal berkaitan kenduri-kendara dan sambutan perayaan mengikut agama dan budaya masing-masing.

LAPAN sekawan biasa berhimpun di kedai kopi di Bandar Darulaman sambil minum kopi dan bermain dam. - Foto Sharul Hafiz Zam
LAPAN sekawan biasa berhimpun di kedai kopi di Bandar Darulaman sambil minum kopi dan bermain dam. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Memang ada timbul isu kecil, tetapi ia tidak pernah menjadi duri dalam perhubungan kami. Bagi kami, keharmonian mesti dipertahankan untuk memastikan kehidupan kami lebih baik atau setidak-tidaknya menjadi contoh kepada orang lain atau generasi akan datang.

"Saya sendiri sudah terbiasa dengan suasana perpaduan dan muafakat sehinggakan saya sendiri adakalanya janggal apabila berdepan anasir luar yang cuba membawa isu panas membabitkan hal perkauman di tempat lain.

"Bagi saya, kenapa mahu marah-marah atau bergaduh sedangkan kita ada banyak cara lain yang lebih positif untuk hidup bersama. Kita tidak persoalkan orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi dan mereka juga tidak menghalang kita untuk mengamalkan agama dan budaya kita. Jadi, tiada sebab untuk kita berasa tidak puas hati sehingga membakar semangat perkauman.

"Bangsa kita membesar bersama-sama dalam negara ini sejak Merdeka, jadi kenapa mahu hancurkannya," katanya.

Bagi Cham Nat, hidup bersama bangsa lain sememangnya menyeronokkan kerana boleh mempelajari adat dan budaya orang lain. Suasana itu juga sudah sebati dan menjadi sebahagian hidupnya sebagai warganegara Malaysia.

"Saya sudah biasa dan berasakan ia sebahagian daripada budaya saya. Saya dengar khutbah Jumaat dari rumah dan kadang-kadang ceramah agama dari corong di surau berhampiran. Saya dapati ia mengajak kepada kebaikan sama seperti agama yang saya amalkan.

LAPAN sekawan bukan sahaja berjaya mengukuhkan perpaduan, malah turut mengelak risiko berlakunya perselisihan faham. - Foto Sharul Hafiz Zam
LAPAN sekawan bukan sahaja berjaya mengukuhkan perpaduan, malah turut mengelak risiko berlakunya perselisihan faham. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Justeru, saya tidak nampak banyak sangat perbezaan yang boleh mengeruhkan keadaan. Jika ada sedikit-sebanyak, bagi saya ia hanya warna-warni dalam kehidupan," katanya.

Hooi Keng pula berpendapat, masyarakat tidak harus terlalu mengikut perasaan terutama dalam hal berkaitan politik masa kini yang selalu menggunakan isu perkauman untuk memanaskan keadaan.

"Tiada faedah langsung kerana kesannya tidak mendatangkan kebaikan kepada kita semua. Perbuatan itu cuma mengikut perasaan dan kita yang mengikutnya secara melulu akan terjebak dengan kesan negatif.

"Macam diri kita...apabila marah menguasai jiwa, kita akan keluarkan apa saja perkataan dan kita mungkin terdorong untuk buat apa sahaja, namun kalau kita teruskan mengikut hati yang panas, akhirnya kita akan menyesal kerana hasilnya bukan seperti yang kita kehendaki.

"Saya tidak mahu masa depan anak cucu saya kelam hanya kerana kesilapan kita pada masa ini. Bagi saya lebih baik kita hormat-menghomati orang lain dan dengan pandangan sebegitu, kita juga akan dihormati," katanya.

 

Berita Harian X