Khamis, 24 September 2015 | 5:15pm

Tiada anjing peliharaan di Pulau Pinang positif virus rabies


ANJING liar yang dilihat berkeliaran untuk mencari sisa makanan yang terbuang ekoran penularan wabak anjing gila yang kini berleluasa di sekitar Pulau Pinang di Georgetown. - Foto Zulaikha Zainuzman

GEORGETOWN: Tiada anjing peliharaan dan berlesen di Pulau Pinang yang didapati positif jangkitan virus rabies atau penyakit anjing gila setakat ini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, sehingga kini kes gigitan anjing di negeri ini membabitkan anjing liar dan terbiar yang didapati positif virus anjing gila.

"Fokus kita kepada anjing peliharaan dan berlesen. Tapi saya syorkan kepada pemilik anjing supaya jangan risau walaupun vaksin sukar didapati. Caranya adalah pastikan anjing peliharaan ini disimpan di rumah.

"Yang penting sekali mereka juga harus melihat kepada bekas makanan yang disediakan untuk anjing mereka. Kalau anjing lain datang guna bekas ini dan meninggalkan sisa di situ, ia boleh menyebabkan merebaknya virus rabies," katanya selepas melawat mangsa keempat gigitan anjing, Mangaleswari Dhanabalan, 28, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Dr Afif berkata vaksin anti-rabies masih boleh didapati di Ibu Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Bukit Tengah, Bukit Mertajam dan usaha untuk menambah stok sedang giat dijalankan.

Sementara itu, menceritakan detik kejadian, Mangaleswari berkata beliau tidak menyangka akan digigit anjing yang kelihatan jinak.

Beliau berkata semuanya berlaku terlalu pantas dan beliau hanya menyedari digigit selepas terdapat luka di paha kanan.

"Saya baru pulang dari kerja pada pukul 8 malam dan singgah ke kedai runcit berdekatan rumah di Taman Buah Pala, Gelugor untuk membeli kad prabayar tambah nilai.

"Tiba-tiba saya dihampiri seekor anjing jalanan dan ia terus menyerang serta menggigit saya ketika mahu membuka pintu kereta. Selepas digigit saya terus teringat mengenai penyakit rabies. Saya menangis dan bersyukur kerana diselamatkan orang ramai yang berada di kawasan itu," katanya yang masih menerima rawatan di hospital.

Mangaleswari yang bekerja sebagai jururawat berkata setibanya di rumah beliau terus dihantar ke hospital oleh anggota keluarganya.

Katanya doktor memberikan empat suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan dan setakat ini beliau tidak mengalami sebarang gejala berkaitan penyakit itu dan dijangka dibenarkan pulang esok.

Bagaimanapun beliau berkata sehingga kini anjing berkenaan gagal ditangkap pihak berkuasa untuk mengesahkan sama ada ia positif rabies atau sebaliknya. -BERNAMA

109 dibaca
Berita Harian X