Jumaat, 25 September 2015 | 10:59am
TARIAN Selamat Datang yang dipersembahkan ketika menyambut tetamu yang bertandang ke Belaga. - Foto NSTP
PEMANDANGAN sebuah perkampungan di Belaga. - Foto NSTP
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga,Liwan Lagang,melawat kawasannya, menaiki helikopter. - Foto NSTP
PEMANDANGAN sebuah perkampungan di Belaga. - Foto BERNAMA
PENDUDUK Long Busang atas inisiatif ADUN Belaga, Liwan Lagang membina sendiri secara gotong royong klinik kesihatan di lokasi terpencil itu. - Foto NSTP

Masyarakat Pedalaman Keutamaan Liwan Lagang, ADUN Belaga

BELAGA: Dilahirkan dalam keluarga miskin di sebuah kawasan yang terpencil di Sarawak, kesusahan adalah sebahagian daripada kehidupan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang.

Beliau yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak membayangkan kesukaran hidup sebagai masyarakat pedalaman di negeri ini, dengan serba-serbi barang keperluan harian terpaksa dibayar mahal berikutan kekangan logistik.

Bagaimanapun, beliau dan adik-beradik tidak pernah menganggap dugaan itu sebagai halangan mengecapi kehidupan lebih baik.

Tekad bela nasib masyarakat

"Justeru, apabila dipilih menjadi wakil rakyat, tekad saya mahu membela nasib masyarakat pedalaman khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belaga," katanya kepada BH, baru-baru ini.

Liwan yang kematian bapa pada usia tiga tahun bersama tiga beradiknya, terpaksa bergantung kepada ibu yang menjadi petani dan mengambil upah menganyam rotan.

Katanya, mereka empat beradik terhutang budi kepada ibu yang banyak berkorban dalam memastikan semua anaknya terus bersekolah.

Terletak di Hulu Rejang, Belaga adalah daerah menghijau sukar dihubungi dengan beberapa penempatan termasuk Long Busang iaitu lokasi penganjuran Program Pemuda Barisan Nasional Bersama Komuniti yang dijadualkan berlangsung esok, hanya boleh dikunjungi menggunakan helikopter atau bot.

Malah, perjalanan ke daerah ini cukup jauh dan mencabar dengan jaringan sungai memiliki jeram bahaya selain dikelilingi hutan tebal dan banjaran gunung.

Sehingga 1980-an, Belaga bagai terputus dengan dunia luar berikutan isu logistik sehingga menyukarkan pembangunan dibawa ke kawasan itu.

Pada usia yang kini mencecah 57 tahun, Liwan masih mengingati keperitan hidup memburu kejayaan akademik.

Seawal usia tujuh tahun, beliau meninggalkan keluarga untuk tinggal di asrama di Long Panggai bagi mendapat pendidikan sempurna.

Selepas lulus ujian kemasukan, beliau menyambung persekolahan menengah di Kapit sehingga tamat Junior Cambridge, seterusnya menduduki Senior Cambridge pada tahun 1975 di Kanowit.

Daripada lebih 200 pelajar, Liwan antara tujuh pelajar cemerlang yang terpilih ke Tanjong Lobang School, sebuah sekolah berprestij ketika itu."Namun demikian, kemiskinan menjadi penghalang. Ibu tidak mampu membiayai perjalanan saya dan ia menjadi impian yang tidak tercapai," katanya.

Biarpun kecewa, beliau tidak menyesali apa yang berlaku, lebih-lebih lagi menyedari keluarganya kurang berkemampuan.

Untuk tidak membebankan ibu, Liwan memanfaatkan cuti sekolah sebagai penebas rumput dan melakukan kerja di kebun.

"Sekali setahun saya balik kampung. Dari Kapit ke Belaga tiada pengangkutan awam kecuali menumpang kapal kargo dengan bayaran RM10 sehala. Dari Belaga ke kampung (Uma Balui Liko) di Hulu Sungai Bakun, perjalanan menggunakan bot dengan tambang RM15. Ketika itu, katanya, nilai RM10 amat besar.

"Itupun bukan perjalanan berjadual. Kalau tiada bot, terpaksalah bermalam di Belaga hingga lebih seminggu," katanya.

Atas pengaruh rakan karibnya, Liwan menjadi guru sandaran sebelum memasuki Maktab Perguruan Batu Lintang dan memilih berkhidmat di kampung halaman iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belaga.Kegigihan Liwan mendidik anak bangsa kemudian menyaksikan beliau dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Belaga.

Laksana banyak inisiatif

Pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sepanjang memegang jawatan itu bertitik tolak daripada pengalamannya sebagai anak luar bandar.

"Sepanjang 57 tahun ini, banyak yang saya tempuhi. Saya yakin hanya pendidikan boleh mengubah nasib ke arah kehidupan lebih baik dan saya bertekad membawa taraf pendidikan lebih baik untuk anak Belaga," katanya.

Atas inisiatif beliau, SMK Bakun dibangunkan bagi membolehkan kanak-kanak setempat menimba pengetahuan dengan lebih sempurna dan selesa.Bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran atas faktor kemiskinan, Tabung Amanah Bakun yang diwujudkan kerajaan negeri banyak membantu.

Difahamkan, lebih 4,000 pelajar menerima bantuan antara RM1,500 hingga RM2,000 seorang bagi membiayai perbelanjaan memasuki universiti awam mahupun institusi pengajian tinggi swasta.

Lebih 3,000 warga Belaga peroleh kerjaya baik

"Sehingga kini, lebih 3,000 warga Belaga sudah menamatkan pengajian dan memperoleh kerjaya baik serta menyumbang kepada pembangunan daerah terpencil ini.

"Hasrat melihat anak luar bandar berjaya dalam pelajaran terus diusahakan melalui penganjuran pelbagai program berkaitan termasuk program lawatan ke beberapa pusat pengajian tinggi di Kuching sebagai dorongan," katanya.

Kesungguhan beliau mengubah nasib anak bangsa menarik tumpuan bekas Ketua Menteri, Tun Abdul Taib Mahmud (kini Yang Di-Pertua Negeri Sarawak) yang memilihnya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Belaga pada Pilihan Raya Negeri kesembilan (PRN-9) pada tahun 2006.

Dua penggal menjadi wakil rakyat, anak Kayan yang juga Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dilantik sebagai Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Negeri.

Bagi Liwan, jawatan itu bukan kemegahan tetapi tanggungjawab membantu rakyat.

"Masyarakat Belaga adalah keutamaan saya dan saya tidak rela melihat mereka di takuk lama ketika orang lain sudah berubah.

"Atas alasan sama, saya mengundang Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, selaku Ketua Pemuda BN bersama pemimpin lain dari Semenanjung dan Sabah ke Long Busang untuk melihat kehidupan kami sebagai masyarakat luar bandar, seterusnya mendengar denyut nadi rakyat," katanya.

Liwan berkata, banyak usaha perlu dilakukan bagi mengubah nasib rakyat di kawasan diwakilinya, terutama meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

Katanya, ramai anak Belaga berkelulusan tinggi dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan, maka mereka wajar diberi peluang dalam syarikat yang terbabit dalam pengendalian Empangan Hidro Elektrik Bakun.

"Ini bagi memastikan penduduk setempat dapat menikmati hasil pembangunan empangan itu sendiri.

"Bukan mudah untuk mereka mengorbankan tanah dan warisan bagi memberi laluan kepada projek mega itu dan pengorbanan mereka harus dihargai," katanya.

Berita Harian X