Ahad, 27 September 2015 | 7:37pm

AMMTC dijangka terima pakai dua deklarasi KL

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-10 yang bermula esok, dijangka menerima pakai dua deklarasi Kuala Lumpur.

Deklarasi berkenaan ialah Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pergerakan Orang Tidak Teratur di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini, penerimaan deklarasi pertama bertujuan mencerminkan komitmen diperbaharui dan berterusan bagi memerangi jenayah rentas sempadan seperti digariskan buat pertama kalinya dalam Deklarasi ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan pada 1997.

Menurut KDN, terdapat cadangan untuk menggabungkan jenayah rentas sempadan baharu seperti penyeludupan hidupan liar dan kayu balak dalam deklarasi kedua, yang memberi tumpuan kepada pemerdagangan manusia.

"Cadangan ini tertakluk kepada pertimbangan kerana peningkatan jenayah rentas sempadan baharu terus memberi cabaran terhadap negara-negara berdaulat, baik di peringkat serantau mahu pun global," menurut kenyataan itu.

Selain itu, mesyuarat berkenaan juga dijangka memperaku Konvensyen ASEAN mengenai Pemerdagangan Manusia dan Pelan Tindakan ASEAN Memerangi Pemerdagangan Manusia terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu, Malaysia dipilih untuk mengetuai perbincangan mengenai pengubahan wang haram dan kegiatan lanun laut pada mesyuarat itu, yang akan berakhir pada Jumaat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri, akan mempengerusikan mesyuarat dwitahunan itu.

- BERNAMA

Berita Harian X