Isnin, 28 September 2015 | 12:05am
KHAIRY Jamaluddin,(dua dari kanan) dan Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak, Liwan Lagang, dan Ahli Parlimen Ulu Rejang, Datuk Wilson Ugak, memeriahkan Pelancaran Program Pemuda BN "For Community" di Long Busang. - Foto Kandau Sidi
BOT kecil 'sting ting' yang digunakan penduduk Long Busang untuk meredah jeram setiap hari dari Bakun ke Long Busang. - Foto Kandau Sidi
PERJALANAN menggunakan bot dari empangan Hidroelektrik Bakun mengambil masa lapan jam untuk sampai ke Long Busang. - Foto Kandau Sidi

Khairy berperahu 12 jam tinjau pedalaman Long Busang

BELAGA: Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin terpaksa menempuh laluan sukar, termasuk menaiki perahu kecil selama 12 jam meredah arus deras untuk ke Long Busang, di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan melakukannya bagi menyahut cabaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang, untuk ke kawasan penempatan terpencil dalam kawasan Parlimen Hulu Rejang itu.

Malah, peluang itu digunakan Khairy untuk meninjau kehidupan masyarakat pedalaman di Sarawak, dengan keadaannya sama sekali berbeza berbanding Parlimen Rembau, kawasan diwakilinya.

Khairy berkata, lawatan itu yang paling jauh baginya di luar bandar dengan menggunakan laluan darat dan sungai pernah dilaluinya sejak bergelar wakil rakyat.

Beliau yang memilih tidak menaiki helikopter berbanding lawatan di Sarawak sebelum ini berkata, beliau bangun seawal jam 5 pagi di kediaman di Kuala Lumpur, untuk lawatan itu.

"Setiba di Lapangan Terbang Bintulu, saya dan rombongan terus menaiki kenderaan pacuan empat roda ke Empangan Hidroelektrik Bakun, untuk menaiki bot laju ke Long Busang.

KHAIRY Jamaluddin merasai sendiri bot 'sting ting' yang digunakan untuk sampai ke Long Busang. - Foto Kandau Sidi

"Sampai di 'karangan' (pasir) Long Busang, pada lewat petang, saya dibawa menggunakan perahu 'sting ting' (perahu kecil) untuk meredah jeram deras selama sejam dan sampai di Long Busang, jam 5 petang.

"Maknanya, perjalanan saya ke Long Busang mengambil masa 12 jam," katanya di Majlis Dialog Bersama Pemuda BN di Long Busang, dekat sini, malam kelmarin.

Lawatan Khairy ke Long Busang adalah sebahagian daripada Program Pemuda BN Bersama Komuniti di kawasan penempatan itu.

  Turut hadir ialah Liwan yang juga Menteri Muda Kebudayaan dan Warisan Sarawak dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak.

Khairy berkata, tempoh 12 jam yang terpaksa dilaluinya walaupun memenatkan, tidak sesukar kesulitan yang dihadapi 1,300 penduduk Long Busang, setiap hari.

Selain laluan sungai, penduduk Long Busang dihubungkan melalui jalan darat selama lapan jam dari pekan Kapit menggunakan jalan darat.

-ends

Berita Harian X