Isnin, 29 September 2014 | 12:56pm
 LIM Eng Kiong, 49, (kiri) diiringi anggota polis selepas dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah polis yang mahu menahannya dengan niat mencederakan, lapan tahun lalu. - Foto L Manimaran
LIM Eng Kiong, 49, (kiri) diiringi anggota polis selepas dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tuduhan melepaskan tembakan ke arah polis yang mahu menahannya dengan niat mencederakan, lapan tahun lalu. - Foto L Manimaran

Nelayan dihukum gantung sampai mati bersalah lepaskan tembakan

IPOH: Seorang nelayan dijatuhi hukuman gantung sampai mati, penjara sepanjang hayat, penjara 12 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi terhadap empat pertuduhan mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Senjata Api 1960.

Tertuduh, Lim Eng Tiong, 49, dikenakan hukuman itu oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan ketika membela diri.

Tertuduh didapati bersalah atas semua pertuduhan yang dilakukan di Kampung Baru Kuala Sepetang, Taiping, antara jam 10 malam hingga 10.45 malam pada 12 Januari 2006.

Bagi tuduhan pertama, Eng Tiong dijatuhi hukuman gantung sampai mati mandatori kerana melepaskan tembakan dengan niat untuk menyebabkan kecederaan manakala bagi pertuduhan kedua, beliau dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan enam sebatan kerana memiliki sepucuk Revolver.

Bagi pertuduhan ketiga, pesalah dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana memiliki tujuh butir peluru hidup dan lima kelongsong peluru.

Bagi pertuduhan terakhir, dia dikenakan hukuman penjara sepanjang hayat kerana melakukan rompakan motosikal dan ketika melakukan kesalahan itu, tertuduh menunjukkan senjata api dengan cara yang boleh mendatangkan ketakutan mati atau cedera parah pada Beh Eng Hock.

Tuduhan pertama, kedua dan keempat masing-masing mengikut Seksyen 3, 8 dan 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala tertuduh diwakili peguam, Yunus Ali.

Berita Harian X