Selasa, 29 September 2015 | 12:02am

Kesan El Nino

FENOMENA El Nino membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik.

FENOMENA El Nino bukan lagi asing bagi masyarakat negara ini, namun apa yang kurang diketahui mungkin maksud di sebaliknya dan kesan kejadiannya kepada negara.

El Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud 'anak lelaki' dan istilah berkenaan digunakan buat pertama kali oleh nelayan di Peru sekitar tahun 1800.

Secara mudahnya, fenomena El Nino membabitkan perubahan tekanan atmosfera dan suhu lautan terutama di Lautan Pasifik.

Ketika ia berlaku, suhu permukaan laut meningkat di bahagian timur Lautan Pasifik iaitu di perairan Columbia, Ecuador dan Peru disebabkan kemasukan arus panas dari bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik.

Malaysia alami kemarau

Pensyarah Kanan Geokimia Marin dan Kajian Paleoiklim Universiti Malaysia Terengganu, Dr Hasrizal Shaari, berkata keadaan itu akan menyebabkan tiada perbezaan suhu air laut ketara antara timur dan barat Khatulistiwa di Lautan Pasifik.

"Fenomena ini jelas dilihat antara Disember hingga Februari iaitu ketika musim sejuk di Hemisfera Utara," katanya.

Beliau berkata, El Nino akan membawa jumlah hujan yang sangat tinggi di kawasan tertentu di benua Amerika, Asia Timur dan Asia Selatan dengan lazimnya akan menyebabkan banjir.

Katanya, kawasan seperti selatan benua Afrika, utara Australia, Indonesia dan Malaysia akan mengalami kemarau disebabkan cuaca panas dan kering yang melampau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Nasional Amerika Syarikat, Mike Halpert, berkata El Nino bulan lalu antara yang terburuk dalam sejarah jika dibandingkan pada tahun 1950-an.

Landa Malaysia 12 kali

Katanya, ia berikutan penemuan tiga bulan suhu permukaan purata lautan di bahagian penting Khatulistiwa Pasifik.

"Ia berpotensi mencapai atau malah melebihi dua darjah Celcius melebihi paras normal yang direkodkan tiga kali sejak 65 tahun lalu," katanya.

Suhu sedemikian sebelum ini dialami pada musim antara 1972-1973, 1982-1983 dan 1997-1998.

Mengikut rekod, El Nino pernah melanda Malaysia sebanyak 12 kali iaitu sejak 1951-1952 dan kejadian paling teruk ialah pada 1997-1998 dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.

INFO: Kesan El Nino

Kesihatan

Keadaan cuaca yang lebih panas ketika El Nino menyebabkan vektor nyamuk dapat hidup dan matang dengan lebih cepat serta memendekkan tempoh pengeraman virus.

Selain denggi, penyakit lain seperti taun, untut dan malaria boleh merebak disebabkan peningkatan suhu.

Jerebu yang menyebabkan pencemaran udara boleh mengundang penyakit berkaitan pernafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selesema.

Ketika jerebu teruk melanda di rantau ini pada 1997-1998, dilaporkan hampir 20 juta orang mengalami pernafasan teruk.

Pencemaran udara

Ketika El Nino melanda pada 1997-1998, cuaca panas dan kering yang melampau menyebabkan hampir 10 juta hektar hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia terbakar.

Puluhan ribu rakyat negara itu terpaksa menerima rawatan dan beratus kematian dilaporkan, dipercayai berpunca daripada kemerosotan kualiti udara.

Jerebu yang berlaku pada 1997-1998 di negara ini turut dianggap terburuk dalam sejarah negara hingga menyebabkan hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi asap.

Bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di sesetengah kawasan turut mencapai paras sangat berbahaya sehingga Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, terpaksa mengisytiharkan darurat.

Dalam tempoh Ogos hingga Oktober 1997, jerebu menyebabkan kerugian bernilai RM802 juta kepada Malaysia.

Krisis bekalan air

Musim kering menyebabkan penyusutan air ketara di kawasan tadahan air seperti empangan, tasik dan kolam disebabkan kadar sejatan yang tinggi dan tiada hujan.

Pengalaman ketika El Nino melanda pada 1997-1998 cukup memeritkan, terutama bagi penduduk di Lembah Klang apabila kira-kira 1.8 juta orang terpaksa berdepan dengan catuan air selama enam bulan.

Pada 1998, sebanyak 4.2 juta pengguna di Lembah Klang terpaksa berkongsi 2,553 juta liter sehari tetapi kali ini, lebih 7.1 juta pengguna berkongsi 4,367 juta liter sehari.

Aktiviti Luar dan ekonomi

Apabila El Nino melanda, kegiatan harian manusia terjejas teruk dan secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi.

Ketika El Nino pada 1997-1998, negara di Asia Tenggara dilaporkan mengalami kerugian melebihi RM34 bilion.

Dari segi pertanian, kemarau menjejaskan pengeluaran padi, buah-buahan serta sayur-sayuran yang banyak bergantung kepada air.

Malah, industri kelapa sawit di rantau ini yang juga pengeluar terbesar di dunia boleh terjejas sehingga 15 peratus sekiranya El Nino berpanjangan.

El Nino juga boleh menjejaskan ekosistem marin dengan memusnahkan plankton selaku makanan utama kepada hidupan laut, sekali gus menjejaskan industri perikanan dan sumber protein utama negara.

Berita Harian X