Selasa, 29 September 2015 | 12:03am
Datuk Soh Chin Aun masih aktif bersenam pada usia 66 tahun. - Foto Khairunisah Lokman

Chin Aun bawa Malaysia ke Olimpik walau elaun RM5


LEGENDA bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun atau 'Tauke' sememangnya sinonim dengan perkembangan dan pembangunan bola sepak negara, apatah lagi beliau mencatat sejarah beraksi dua kali di pentas sukan Olimpik 1972 dan 1980.

Anak kelahiran Alor Gajah, Melaka ini adalah 'living legend', yang dikatakan memiliki rekod yang sukar ditandingi. Sehingga kini, belum ada mana-mana pemain bola sepak di Malaysia yang layak beraksi di Olimpik sebanyak dua kali seperti mana yang dikecapinya membawa cabaran negara di Munich, Jerman dan Moscow, Russia.

Walaupun Malaysia memulaukan saingan di Moscow, baginya, itu adalah pencapaian amat bersejarah dalam kehidupannya dan besar harapannya untuk melihat pasukan negara sekali lagi layak ke Olimpik ketika masih bernafas.

Sering bergandingan dengan deretan bintang legenda bola sepak negara, termasuk Datuk M Chandran, Shaharudin Abdullah, Namat Abdullah selain Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R Arumugam, Hasan Sani, James Wong, Datuk Jamal Nasir dan Santokh Singh, Chin Aun memiliki ciri yang sukar dicari ganti.

LEGENDA bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun. - Foto Khairunisah Lokman

Bersahaja, tenang, namun pantas memintas dan melakukan sepakan deras di muka gawang walaupun sebagai pemain benteng pertahanan membuatkan kelibatnya sentiasa digeruni pasukan lawan.

Pelbagai kejuaraan dikecapi sepanjang kerjayanya, termasuk meletakkan negara di peta Olimpik, Sukan Asia, menjulang Pesta Bola Merdeka, Piala Malaysia selain beraksi berdepan kelab antarabangsa dan mewakili pilihan Asia, Chin Aun menganggap semua itu sebagai sejarah yang mampu dicipta semula oleh generasi bola sepak kini, andai fokus dan komitmen melebihi 200 peratus mampu disempurnakan mereka.

"Saya bermain untuk menang. Jika tewas lebih 2-0, kami akan menerima akibat yang sangat besar. Kami akan dikutuk dan dikritik hebat di dalam dan luar stadium oleh penyokong setia bola sepak negara.

"Kami tidak akan keluar rumah hampir seminggu jika mengalami kekalahan teruk. Peminat akan mengutuk dan memaki pemain sehingga kami tidak mampu menggerakkan kaki melangkah keluar ke kedai kopi.

"Peminat memainkan peranan penting dalam membakar semangat pemain dan membangunkan bola sepak negara ketika itu. Justeru, kami sentiasa bertekad untuk menang dan jauh sama sekali untuk tewas dengan jaringan besar," katanya sambil tidak menduga kekalahan teruk skuad negara dengan jaringan 10-0 di tangan UAE, baru-baru ini.

Mengulas pembabitan awal dalam sukan itu, Chin Aun yang menetap di pekan Alor Gajah bersama bapanya menjalankan perniagaan kedai runcit yang terletak berhampiran padang bola sepak membolehkannya saban hari menendang bola bersama rakan bagi mengasah bakat.

DATUK Soh Chin Aun ketika ditemubual wartawan BH di rumahnya. - Foto Khairunisah Lokman

Di padang itulah dia bersama rakan lain membentuk kemahiran seni bola sepak sehingga pada zamannya seramai lapan pemain dari daerah itu terpilih mewakili skuad Melaka, termasuk adiknya, Soh Chin Leh.

Chin Aun akan berlari mengelilingi pekan itu seawal jam 6 pagi hingga ke Gadek, Rembia dan Pengkalan tanpa menunggu arahan sesiapa demi untuk meningkatkan stamina, prestasi dan meraih kejayaan dalam sukan berkenaan.

"Saya akan menaiki bas dengan tambang 25 sen ke Bandar Melaka untuk mengikuti sesi latihan dan berhenti di perhentian bas Melaka, sedangkan latihan di Padang Pahlawan, Bandar Hilir menyebabkan saya akan berlari kira-kira empat kilometer ke padang itu kerana enggan menunggu sebuah lagi bas ke lokasi sebenar yang akan memakan masa.

"Itulah rutin saya sepanjang mewakili Melaka dalam Piala Burnley ketika berusia 16 tahun hingga 18 tahun. Namun, masalah kewangan persatuan bola sepak negeri ketika itu, mendorong saya berhijrah ke Selangor pada tahun 1970.

"Di Selangor saya bekerja di Perbadanan kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan MCIS. Selepas habis kerja kira-kira jam 5 petang, saya mengikuti sesi latihan dengan pasukan berkenaan yang pada ketika itu dikendalikan pengurus pasukan, Datuk Harun Idris," katanya.

Walaupun bekerja dan mengikuti latihan separuh masa, pasukan Selangor memiliki pemain hebat dan berkualiti sehingga digeruni lawan dan sering meraih kejayaan di pentas liga Malaysia.

Katanya, walaupun elaun latihan hanya kira-kira RM2 hingga RM5 pada waktu itu, ia sama sekali tidak membunuh minat beliau dan rakan, jauh sekali merungut atau berasa kecewa.

DATUK Soh Chin Aun beraksi dua kali pada Sukan Olimpik. - Foto Khairunisah Lokman

"Kami tetap gembira bermain, malah bangga menjadi pemain dan bangga dengan pasukan yang diwakili serta terus bersemangat untuk menaikkan imej pasukan yang diwakili.

"Malah, ketika mewakili Malaysia, kami hanya menerima elaun RM10 untuk satu perlawanan dan jika beraksi di gelanggang sendiri, dapat RM5. Tetapi ia bukan alasan atau halangan untuk kami beraksi bermati-matian di gelanggang demi nama negara tercinta," katanya.

Keadaan amat berbeza dengan kedudukan kewangan pasukan atau elaun yang diterima masa kini. Terlalu besar julatnya dan begitu juga besarnya perbezaan prestasi pemain dahulu serta kini.

Dikenali sebagai pemain berstokin pendek, hanya di atas buku lali sepanjang mewakili Malaysia sejak tahun 1974 hingga bersara, Chin Aun juga tidak pernah mengalami kecederaan serius.

"Saya amat selesa dengan tidak memakai stokin panjang, biar pun dalam keadaan cuaca sejuk. Ada juga yang beranggapan saya tidak berdisiplin tetapi bagi saya, apa yang lebih penting adalah corak permainan," katanya.

Beliau menolak tugasan sebagai jurulatih dan hanya pernah memegang jawatan pengurus pasukan negara. Akuinya, beliau ingin kebebasan dan tidak mahu berada untuk tempoh lama di padang sebagai pengendali selepas tidak bergelar pemain.

"Selepas bersara dalam sukan ini, saya lebih banyak menghabiskan masa di kedai kopi dan menjalankan perniagaan sendiri. Itu lebih selesa buat saya daripada berada di stadium kerana sudah banyak masa dihabiskan di situ ketika sebagai pemain dulu.

"Kini, golf dan sesekali bola sepak amal. Saya masih turun bermain bersama rakan untuk mengeluarkan peluh demi menjaga kesihatan," katanya.

Apa yang perlu dilakukan untuk memajukan sukan bola sepak negara?

Katanya, bola sepak Malaysia memerlukan lebih banyak pertandingan pelbagai peringkat usia.

DATUK Soh Chin Aun sentiasa digeruni pihak lawan. - Foto Khairunisah Lokman

"Bola sepak memerlukan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi, selain pemain sentiasa perlu belajar. Lebih banyak kita bermain, lebih banyak yang kita dapat dan pelajari ilmu baharu. Perjuangan bola sepak tidak bernoktah dan ia sentiasa terus diwarnai dengan api perjuangan yang hebat.

"Setiap individu diperlukan memberi idea dan pendapat demi melihat pasukan negara kembali menyerlah dan layak ke Olimpik buat kali ketiga serta mara ke piala dunia. Ia bukan igauan dan mimpi semata-mata, sebaliknya sebagai perjuangan yang harus dipertanggungjawabkan kepada semua pihak," katanya.

 

Biodata Datuk Soh Chin Aun

Asal: Alor Gajah ,Melaka

Tarikh Lahir: 28 Julai 1949

Sukan: Bola sepak

Adik-beradik : Anak keempat daripada lapan beradik

Status: Berkahwin

Isteri: Datin Lee Chwee Sieang

Anak: 2 lelaki 1 perempuan

Cucu: 5 orang

Idola: Pele, Johan Cruff, Franz Beckenbauer

Pencapaian:

Wakil Selangor 1970-1980

Melaka 1981-1989

Malaysia 1970-1985

Caps : 252

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X