Selasa, 29 September 2015 | 12:05am
ANTARA barangan sindiket gores dan menang yang dirampas dalam Ops Serama di sebuah pasar raya di Jalan Lundang, Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
BARANGAN yang dirampas dari sindiket gores dan menang di sebuah kondominium di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu. - Foto Owee Ah Chun
KELIHATAN sekumpulan lelaki cuba memperdaya orang ramai dengan peraduan gores dan menang di sebuah stesen komuter di Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusof

Dakwa peniaga guna paksaan


UNDANG-UNDANG yang memperuntukkan hukuman lebih berat, antaranya penjara sehingga maksimum 10 tahun, isytihar muflis dan semua harta disita, perlu digubal bagi menangani isu sindiket gores dan menang, sekali gus melindungi pengguna daripada tertipu.

Ketika mengesyorkan hukuman itu, Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata akta berkenaan perlu bagi memastikan tindakan penguatkuasaan bukan sahaja boleh diambil berdasarkan aduan pengguna, tetapi memberi kuasa untuk menangkap sindiket sebelum memperdaya mangsa.

Katanya, undang-undang sedia ada bagi kes gores dan menang terletak di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Jualan Langsung dan Sistem Piramid 1993 dan ia dilihat `tidak begitu kuat' untuk mengheret ahli sindiket ke mahkamah.

Sehubungan itu, katanya, akta khusus berkenaan perlu menggariskan mana-mana perniagaan berunsur paksaan, ugutan dan penipuan adalah salah di sisi undang-undang dan secara langsung boleh didakwa.

TIMBALAN Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman. - Foto Saifullizan Tamadi

"Undang-undang perlu lebih menjaga hak pengguna dan tidak menyebelahi peniaga yang menipu. Dalam kes gores dan menang, saya lihat ada ruang dan peluang untuk sindiket lolos daripada dikenakan tindakan.

"Ini kerana sindiket akan menutup syarikat berkenaan dan membuka syarikat baharu dengan modus operandi sama sebaik pihak berkuasa mengesan mereka berikutan aduan pengguna. Sewajarnya, undang-undang boleh menyekat sindiket daripada beroperasi semula dan membolehkan syarikat terbabit disenaraihitamkan.

"Hukuman lebih berat perlu dikenakan sebagai pengajaran agar kes sama tidak berulang. Ini adalah jenayah perdagangan, menipu pengguna," katanya kepada BH.

BH sebelum ini melaporkan kegiatan sindiket gores dan menang di negara ini semakin membimbangkan dengan 395 kes membabitkan kerugian RM3.6 juta tahun ini.

Susulan itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan sindiket dilindungi gangster dan pakatan tertentu yang menyebabkan ia sukar dihapuskan, malah semakin kukuh membina rangkaiannya.
Persatuan itu mengesan lapan syarikat menjalankan operasi gores dan menang di seluruh negara, malah masing-masing dianggarkan mampu meraih pendapatan RM80 juta setahun.

KETUA Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan ketika temuramah berhubung gores dan menang di PPIM Villa Puteri, Kuala Lumpur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Mohd Yusof berkata, terdapat syarikat yang menawarkan diskaun hampir setiap hari, sepanjang tahun sedangkan diskaun dan jualan murah adalah jualan bermusim.

Katanya, taktik itu boleh dilakukan berikutan barang yang ditawarkan adalah barang yang ditolak kerana tidak berkualiti.

"Pengguna perlu sedar dan dimaklumkan bahawa semua jualan murah mesti mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terlebih dahulu," katanya.

Lebih membimbangkan, katanya, sindiket sudah meluaskan kegiatannya ke luar bandar untuk memperdaya mangsa.

Berita Harian X