Selasa, 29 September 2015 | 12:21pm

KDNK perkapita Malaysia atasi purata dunia - MIGHT

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mencapai kejayaan penting untuk merealisasi usaha mencapai status negara maju, menurut Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Menurut MIGHT, data Bank Dunia menunjukkan bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) perkapita Malaysia berjumlah AS$10,830 pada 2014, pertama kalinya melebihi purata semua negara di seluruh dunia yang berjumlah AS$10,804.

"Sebagai perbandingan, pada 2010 KDNK per kapita negara pada AS$8,752, iaitu kira-kira lapan peratus di bawah purata dunia berjumlah AS$9,513.

"Pencapaian ini dimuatkan dalam kajian Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global Malaysia (GSIAC) yang mengadakan mesyuarat tahunan kelimanya di Manhattan, New York pada Isnin," menurut organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut GSIAC, penasihat negara dan antarabangsa itu diamanahkan untuk membantu negara mencapai KDNK per kapita AS$15,000, menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada 2020.

Dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, GSIAC ialah badan terkemuka negara dan antarabangsa dalam bidang ekonomi, perniagaan, Sains dan Teknologi.

Majlis itu diurus bersama oleh MIGHT dan Akademi Sains New York (NYAS).

"Menerusi kelebihan sumbangan dan nasihat bernilai tinggi GSIAC, Malaysia berada pada kedudukan yang teguh untuk menuju status negara maju," kata Penasihat Sains kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Zakri Abdul Hamid.

Zakri yang juga ahli lembaga Majlis Penasihat Saintifik Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, berkata banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat AS$15,000 Malaysia secara mampan.

Katanya, secara terangkum dari 2015-2020, KDNK per kapita Malaysia perlu ditingkatkan sebanyak AS$695 setiap tahun secara purata.

Beliau berkata, peningkatan itu berada dalam unjuran Rancangan Malaysia ke-11 yang dikeluarkan pada Mei, yang menjangkakan penggunaan swasta dan pemacu pertumbuhan pelaburan dalam pendapatan negara kasar per kapita sebanyak 7.9 peratus setahun.

Beliau menekankan bahawa sains, teknologi dan inovasi, yang diusahakan menerusi inisiatif Pelan Tindakan Sains Negara (S2A), penting kepada kejayaan Rancangan Malaysia ke-11, yang merangkumi enam objektif ekonomi.

Ini termasuk potensi negara merungkaikan potensi dan produktiviti negara, meningkatkan kumpulan 40 peratus isi rumah kepada kedudukan kelas pertengahan, membolehkan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional yang diterajui industri, membangunkan pertumbuhan hijau dan bandar raya kompetitif serta merealisasikan inovasi kepada kekayaan.

- BERNAMA

Berita Harian X