Selasa, 29 September 2015 | 2:53pm

Bintang Barcelona didakwa tak bayar cukai

PEMAIN pertahanan Barcelona, Javier Mascherano (kanan) bersaing dengan pemain hadapan Las Palmas 'Wakaso ketika liga bola sepak FC Barcelona vs UD Las Palmas di Barcelona. - Foto AFP

BARCELONA: Bintang tengah Barcelona dan Argentina, Javier Mascherano didakwa dengan dua tuduhan penipuan cukai terhadap pihak berkuasa Sepanyol membabitkan jumlah melebihi 1.5 juta euro (RM7.50 juta).

Perkara itu disahkan pejabat Pendakwa Raya Awam Sepanyol, semalam.

Mascherano yang menyertai Barca dari kelab Inggeris, Liverpool pada Ogos 2010 didakwa berusaha menyembunyikan pendapatan yang diperoleh menerusi hak imejnya dengan menggunakan syarikat-syarikat yang ditubuhkan di Amerika Syarikat dan Portugal, kata pejabat pendakwa raya.

Pemain berusia 31 tahun itu dituduh menipu pihak berkuasa dengan nilai 587,822.01 euro (RM2.93 juta) pada 2011 dan 968,907.76 euro (RM4.84 juta) pada 2012.

Mascherano tidak mengeluarkan sebarang komen balas pantas kepada umum mengenai tuduhan itu.

Begitupun bulan ini, pejabat cukai berkata, Mascherano membayar wang yang ditambah dengan faedah berjumlah 200,000 euro (RM998,310) kepada mereka dan media tempatan melaporkan perkara ini boleh menyebelahinya andai dia didapati bersalah.

Barcelona dalam pada itu turut tidak memberi sebarang maklum balas mengenai perkara terbabit.

Selain Mascherano, pemain-pemain berprofil tinggi Barcelona yang turut dikaitkan dengan penipuan cukai adalah rakan senegaranya, Lionel Messi dan bintang Brazil, Neymar.

Badan kehakiman Sepanyol kini perlu memutuskan sama ada kes membabitkan perlu dibawa ke mahkamah. - REUTERS

Berita Harian X