Rabu, 30 September 2015 | 12:21am

Toi mahu tinggalkan Hyper Act?

MUNGKINKAH kumpulan Hyper Act sudah jatuh ditimpa tangga dan persoalan yang berlegar ketika ini adakah perjalanan seni mereka bakal berkubur.

Selepas Ronnie Hussein meninggalkan kumpulan itu, kini timbul kemungkinan pemain bass dan penyanyi kedua kumpulan itu, Toi bakal mengikut jejak bekas vokalis mereka.

Toi tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan Hyper Act namun belum membuat sebarang keputusan berhubung isu itu dalam tempoh masa terdekat.

"Tidak kira walau apa pun keputusan diambil, saya tidak sesekali membelakangkan Hyper Act. Andai kata tidak lagi bersama mereka, saya tetap akan berada secara dekat menguruskan mereka.

"Sejujurnya saya kurang pasti sejauh mana lagi akan bersama Hyper Act namun buat masa ini saya belum mempunyai sebarang perancangan untuk meninggalkan kumpulan itu.

PENYANYI, Khairul Nizam Baharom atau dikenali sebagai Toi. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Paling penting adalah memastikan perjalanan kerjaya Hyper Act berjalan lancar dan jika tidak lagi bersama mereka, saya akan menguruskan mereka selaku pengarah Hyper Act Sdn. Bhd.

"Malah, mereka juga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Selain itu, kami sedang dalam perancangan untuk mencari bakat baru di bawah pengurusan syarikat kami," ujar Toi.

Tambahnya, biarpun sibuk dengan kerjaya solo namun beliau sama sekali tidak mengabaikan Hyper Act. Malah ahli kumpulan itu sudah sedia maklum berkenaan perkara itu ketika awal penubuhan mereka lagi.

"Mereka sebenarnya sudah maklum dengan perjalanan kerjaya saya sejak dulu lagi. Saya mengendalikan banyak benda pada satu masa namun fokus saya tetap kepada Hyper Act sendiri," jelasnya tenang.

TOI kini sibuk dengan kerjaya solo namun beliau sama sekali tidak mengabaikan Hyper Act. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Dalam perkembangan lain, Toi menafikan dakwaan perjalanan kerjaya kumpulan itu semakin malap dengan ketiadaan Ronnie.

Mendengarkan lagu Harapan memperlihatkan sisi sebenar kumpulan Hyper Act ini dan tidak dinafikan ia menjadi single pertama telah melonjakkan nama mereka sebelum ini dan berada di landasan yang selesa.

Kemelut yang melanda Hyper Act dan bekas vokalis kumpulan mereka bukanlah isu baru.

Baik Hyper Act mahupun Ronnie dilihat bersaing sengit apabila tampil dengan single terbaharu masing-masing.

Ronnie kini semakin mencipta nama sebagai penyanyi solo menerusi lagu Di Koyak Waktu manakala Hyper Act dianggotai enam jejaka turut muncul dengan lagu baharu iaitu Takkan Pergi.

Enggan menangguk di air keruh, Toi mendoakan yang terbaik buat Ronnie dan meminta agar peminat memberikan sepenuh sokongan kepada vokalis terbaharu mereka iaitu Kecik.

TOI (kiri) bersama Ronnie (empat dari kiri) ketika sesi penggambaran ABPBH 2013.

"Saya berharap peminat Hyper Act dapat memberikan sokongan kepada vokalis baru kami iaitu Kecik. Jangan bandingkan dia dengan Ronnie kerana tidak dinafikan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

"Tidak dinafikan Ronnie mempunyai vokal mantap dan mempunyai peminatnya tersendiri. Saya doakan yang terbaik buat perjalanan kerjayanya walaupun dia tidak lagi bersama Hyper Act.

"Tidak timbul istilah perjalanan kerjaya kami semakin malap manakala Ronnie pula semakin mencipta nama sebagai penyanyi solo. Kami mempunyai haluan berbeza dan sokongan padu peminat begitu penting sekali," katanya kepada BH PLUS.

Berita Harian X