Rabu, 30 September 2015 | 1:10pm

Himpunan Hari Kemarahan depan kedutaan AS Jumaat ini

BADAN gabungan NGO menunjukkan risalah pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nazran Jamel

KUALA LUMPUR: Sekretariat Kempen Selamatkan Al-Quds bersama badan gabungan 40 badan bukan kerajaan (NGO) tempatan akan mengadakan 'Himpunan Hari Kemarahan' Jumaat ini, bagi mengecam pencerobohan dan keganasan rejim zionis Israel ke atas Masjidil Aqsa.

Perhimpunan aman bertujuan merayu sokongan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan mengecam pencerobohan rejim zionis itu, akan diadakan selepas solat Jumaat di depan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di ibu negara.

Jurucakap sekretariat yang juga Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, perhimpunan itu ruang terbaik kepada setiap rakyat Malaysia untuk menyatakan solidariti ke atas isu Palestin dan Masjidil Al-Aqsa tanpa mengira agama, bangsa serta fahaman politik.

"Kita juga akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Kedutaan AS pada perhimpunan aman itu," katanya dalam sidang media di Taman Melawati di sini, sebentar tadi.

Sidang media itu turut dihadiri wakil Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Viva Palestina Malaysia (VPM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Selain itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Pertubuhan Kebajikan Penyayang Uswah (USWAH), MyCare, Aqsa Syarif, HALUAN, Yayasan Al Quds Malaysia dan Pertubuhan Kebudayaan Palestin (PCOM).

EXCO Pemuda UMNO, Armand Azha dan Setiausaha Lajnah Antarabangsa PAS, Mohd Faiz Mohd Nawi turut hadir.

Rejim Israel sejak 24 Ogos lalu melakukan keganasan dan pencerobohan ke atas Masjidil Al-Aqsa yang juga masjid ketiga suci bagi umat Islam, termasuk menembak di dalam rumah ibadat itu.

Rejim zionis Israel kini cuba memisahkan ruang `ibadat dan masa' di Masjidil Al- Aqsa antara orang Islam dan Yahudi, sekali gus melakukan pencerobohan ke atas Al-Aqsa.

Berita Harian X