Rabu, 30 September 2015 | 4:45pm

Malam kemuncak ASK 2015 pilih tema Raikan Bintang

AWIE dan Fara Fauzana selaku hos Anugerah Skrin 2015 bersama pihak penaja dan TV3. - Foto BH Online
AWIE dan Fara Fauzana selaku hos Anugerah Skrin 2015 bersama pihak penaja dan TV3. - Foto BH Online

KUALA LUMPUR: Sesebuah penerbitan tidak akan lengkap tanpa perantara yang menyampaikan kisah di hadapan lensa dan juga sentuhan magis yang diberikan oleh tenaga kerja yang bertungkus lumus di belakang tabir.

Usaha keras dan pengorbanan mereka telah menjadikan setiap penggiat seni umpama sebutir bintang yang bersinar di galaksi.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Skrin anjuran TV3 meneruskan usaha untuk menjulang bakat dan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dan karyawan tanah air.

Bakal bersiaran secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 8 November bermula 9 hingga 11.30 malam, Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) mempertaruhkan 31 kategori yang merangkumi drama, filem, penerbitan dalaman dan teknikal.

Tahun ini, Anugerah Skrin 2015 telah memilih tema "Raikan Bintang" (Celebrating the Stars) sebagai konsep malam penganugerahan.

Tema warna emas dan hitam yang memberi simbol kilauan bintang yang bersinar di langit ditampilkan sebagai warna utama dalam produksi ASK 2015 menerusi set pentas, dekorasi keseluruhan serta pakaian dan tata rias untuk menghidupkan suasana glamor.

"Bagi pihak penganjur, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan penyiaran yang memberikan sokongan padu dalam menjayakan penganjuran Anugerah Skrin. Dalam era teknologi maklumat yang tiada sempadan dan had, tidak dapat dinafikan bahawa penggiat seni kini berhadapan dengan cabaran yang besar dalam menghasilkan karya seni yang dapat memuaskan cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.

SEBAHAGIAN artis yang hadir pada majlis pelancaran Anugerah Skrin 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SEBAHAGIAN artis yang hadir pada majlis pelancaran Anugerah Skrin 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Justeru, kami percaya pengiktirafan atas usaha keras dan kreativiti hasil kerja karyawan menerusi penganjuran majlis seperti Anugerah Skrin bukan sahaja satu penghormatan bagi mereka, malah ia juga satu pendorong dan memberi semangat baharu kepada mereka untuk terus berkarya.

"Jadi, kami memperkenalkan anugerah baharu dalam kategori drama iaitu Anugerah Penyunting Terbaik Drama kerana tenaga kerja di belakang tabir juga layak diraikan dan dihargai sebagai bintang seperti mereka yang berada di hadapan lensa," ungkap Cik Sherina Nordin selaku Pengurus Besar Kumpulan, Pengurusan Jenama & Rancangan TV3 & TV9,

Utuh memasuki musim yang ke-17, ASK 2015 antara majlis terunggul di dalam lipatan sejarah industri tanah air yang sentiasa ditunggu-tunggu penganjurannya saban tahun kerana cetusan konsep dan identiti yang berlainan.

ASK 2015 menggandingkan dua figura popular iaitu Awie dan Fara Fauzana untuk mengemudikan majlis penganugerahan manakala acara karpet merah akan dikendalikan oleh Hani Hatim, Muadz dan Ain Edruce.

Siaran langsung keseluruhan acara yang bermula dengan karpet merah pada jam 7.45 malam juga boleh dilayari secara global melalui komputer, tablet dan telefon pintar di laman web rasmi www.anugerahskrin.com. TV9 juga menyiarkan kemeriahan acara karpet merah secara langsung menerusi program Hip TV dari 8.30 hingga 9 malam.

Nantikan kemunculan artis dan dramatis popular dalam segmen persembahan ASK 2015 seperti Alyah, Amir Jahari, Izzue Islam, Ayda Jebat, Azmil Mentor Legend, Sarah Mentor Legend, Asmidar, Ungku Ismail Aziz, Zahiril Adzim, Marsha Londoh dan Toi. Manakala barisan penyampai anugerah bakal diserikan oleh Fazura, Maya Karin, Eirma Fatima, Que Haidar, Hans Isaac, Faizal Hussein, Izreen Azminda, Nadiya Nissa, Sharifah Amani dan lain-lain.

Secara keseluruhan, ASK 2015 mempertandingkan 31 kategori yang meliputi 12 kategori drama, 7 kategori filem, 6 kategori penerbitan dalaman dan 6 kategori teknikal. Untuk kategori drama, 16 buah drama, 8 drama rantaian, 3 drama rantaian komedi dan 3 drama rantaian popular media sosial telah dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula, 25 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan.

Antara drama yang layak bertanding ialah Ada Sejadah Panjang Terbentang, Cahaya Cinta, Cahaya Malaika, Dari Pintu Neraka, Hak, Jalan Taubat, Kereta Kita, Kerana Seorang Ammar, Lorong Kecil Ke Syurga, Penyabong, Pulangnya Tok Misai, Sebentuk Kunci Sedetik Cinta, Seligar, Sujud Ibuku, Sinar Ya Rob dan Talak.

Bagi kategori drama rantaian pula, ASK 2015 menerima pencalonan seperti Angin Syurga, Astana Cinta Aleesa, Cinta Ilahi, Hidayahmu Ramadan, Mukhlis, Puteri Gunung Ledang, Tabuh Merdeka dan Zahira. Kategori drama rantaian komedi pula menerima pencalonan seperti Asam Pedas Untuk Dia, Menantu Mak Uteh dan Rubber Band.

Manakala filem yang layak bertanding termasuk Mat Tudung, Adnan Sempit Sawadikap, Mamak Cupcake, Lagenda Budak Setan 3 - Kasyah, Nasi Tangas, Amir & Lokman Pergi Kelaut, Dollah Superstar, Dendam Orang Mati, Anak Jantan, Kelibat, Lelaki Harapan Dunia, Gila Baby, Manisnya Cinta Di Cappadocia, Ophilia, Terbaik Dari Langit, Villa Nabila, Suamiku Encik Perfect 10, Puaka Balai Gombak, Jalan Puncak Alam, Cicakman 3, Isyarat Cinta , Jengka, Hantu Bungkus Ikat Tepi, Pilot Café dan Suamiku Ustaz.

Anugerah Drama Bersiri Terbaik di Laman Sosial yang diperkenalkan pada tahun lepas kini dikenali sebagai Anugerah Drama Rantaian Popular Media Sosial. ASK 2015 menyaksikan Rindu Awak 200%, Setitis Kasih Darmia dan Tentang Hati tercalon dalam kategori ini. Uniknya, pemenang bagi kategori ini bakal ditentukan oleh jumlah undian orang ramai di laman Twitter & Instagram dari 5 Oktober hingga 5 November 2015.

Untuk mengundi, anda perlu letak hashtag drama pilihan anda iaitu #rinduawak200peratus, #setitiskasihdarmia atau #tentanghati berserta dengan #ask2015. Akaun Twitter atau Instagram anda perlu ditetapkan untuk tatapan umum untuk proses pengiraan undi.

Bagi menyemarakkan lagi ASK 2015, Jelajah Anugerah Skrin 2015 bakal berlangsung di dua lokasi iaitu Karnival Jom Heboh Pulau Pinang (3 Oktober) dan Karnival Jom Heboh Johor Bahru (31 Oktober). Jelajah ASK 2015 di Pulau Pinang akan disertai oleh Amar Asyraf, Raja Ilya, Atikah Suhaime, Ammar Alfian, Sabhi Sadhi, Nisha Dirr, Mimi Ernida, Lan Siro, Idris Khan dan Bil Azali.

Mereka akan membuat penampilan khas di gerai Cerekarama dan gerai Lyanaz Beauty Care di Karnival Jom Heboh yang berlangsung di pekarangan Stadium Negeri Batu Kawan, Seberang Jaya, Pulau Pinang. Selain beramah mesra dengan artis-artis kesayangan mereka, para pengunjung juga berpeluang untuk memenangi undangan ke makan malam eksklusif bersama bintang ASK 2015.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan program Menjelang ASK 2015 yang dihoskan oleh Adzriefaiz Adzlan pada 8 November 2015, pukul 6.00 petang untuk paparan menarik tentang detik-detik di belakang tabir ASK 2015, kemeriahan Jelajah ASK 2015 dan juga persiapan artis.

 SHERINA (tiga dari kiri) bersama Pengasas Lyanaz Beauty Care, Datin Lyanaz Hassan (tengah) pada majlis pelancaran Anugerah Skrin 2015 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SHERINA (tiga dari kiri) bersama Pengasas Lyanaz Beauty Care, Datin Lyanaz Hassan (tengah) pada majlis pelancaran Anugerah Skrin 2015 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Selain itu, program Gemilang ASK 2015 yang dihoskan oleh Awal Ashaari pula bakal disiarkan pada 12 November 2015 pukul 11 malam untuk berkongsi klip video eksklusif dan momen yang tidak disiarkan semasa berlangsungnya karpet merah, fesyen ASK 2015 dan juga ucapan pemenang ASK 2015.

Nantikan juga kejutan yang bakal diberikan kepada peminat setia Yana Samsudin yang dilantik sebagai duta media sosial Anugerah Skrin 2015. Hanya seorang pemenang yang bertuah akan terpilih sebagai pasangan Yana Samsudin untuk hadir ke Anugerah Skrin 2015 nanti.

ASK 2015 menampilkan Babies Blinks Gold sebagai penaja utama. Selain menaja dua anugerah utama iaitu Pelakon Wanita Terbaik Drama dan Pelakon Wanita Terbaik Filem, Babies Blinks Gold turut menyampaikan Anugerah Bintang Bersinar Babies Blinks Gold kepada selebriti yang tampil paling segak atau anggun di acara karpet merah Anugerah Skrin 2015.

Peraduan #ImpianASK yang diadakan oleh Babies Blinks Gold di Instagram menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM10,000 dan juga tiket VIP Anugerah Skrin 2015 kepada para pemenang. Untuk menyertainya, anda perlu 'follow' @impianask. Muat naik gambar selfie anda bersama produk Babies Blinks Gold. Gambar dan slogan paling kreatif dengan hashtag #impianask dan #ask2015 akan dipilih sebagai pemenang. Akaun Instagram anda perlu ditetapkan untuk tatapan umum. Peraduan ini berlangsung dari 22 September - 31 Oktober 2015.

Selain itu, Anugerah Skrin 2015 juga menampilkan Tonton, Hot FM, Harian Metro dan ZIP (Majalah Digital) selaku rakan media. Kru penerbitan Anugerah Skrin 2015 diketuai oleh Muhamad Sufian Isa, Pengurus Penerbitan Hiburan, Khalijah Mohamed selaku Penerbit Eksekutif dan Roslina Abd Rahman sebagai penerbit dari Primeworks Studios.

Layari laman web www.tv3.com.my dan www.anugerahskrin.com serta Facebook, Twitter & Instagram TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. Hangatkan lagi perbualan di laman sosial dengan hashtag #ask2015.

Berita Harian X