Khamis, 1 Oktober 2015 | 12:15am
STESEN Pam Air Mentah milik Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang beroperasi di Kampung Hujung Tambak, Gersik, Muar membekalkan kira-kira 60 peratus air kepada penduduk Melaka. - Foto Badrul Kamal Zakaria
ANTARA komen penduduk di sekitar Muar di laman sosial.

Muar, Melaka bakal hadapi krisis air dalam tempoh 5 tahun

PENDUDUK Muar, Johor dan sebahagian besar Melaka akan mengalami krisis air dalam tempoh lima ke 10 tahun lagi akibat pencemaran Sungai Muar, yang menjadi sumber utama bekalan air bersih.

Masalah pencerobohan tanah rizab sungai yang menyebabkan air sungai menjadi cetek dan penerobosan air laut atau dikenali sebagai 'saltwater intrusion' menyebabkan sungai itu tidak mampu lagi membekalkan air bersih kepada lebih 300,000 penduduk Muar dan separuh daripada seluruh populasi Melaka.

Keadaan bertambah kritikal apabila musim kemarau, yang mana ia menyebabkan kekurangan air tawar di bahagian hulu sekali gus tidak dapat menolak air masin dari laut memasuki Sungai Muar apabila air pasang.

Lebih membimbangkan apabila kerja pengambilan air oleh syarikat berkaitan seperti Syarikat Air Johor (SAJ) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) masih diteruskan ketika kuantiti air tawar berkurangan. Belum lagi mengambil kira kes curi air oleh pihak tertentu bagi pelbagai tujuan, termasuk industri dan pertanian.


KEGIATAN pertanian yang dijalankan di tanah rizab sungai antara faktor yang menyumbang pada pencemaran sungai. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Masalah ini semakin serius sejak kebelakangan ini dan pakar kualiti air bimbang krisis air boleh berlaku dalam tempoh yang lebih singkat jika ia tidak ditangani segera.

Sungai Muar yang merentasi tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Negeri Sembilan, ketika ini membekalkan air kepada penduduk Muar dan sebahagian besar penduduk Melaka.

Dua daripada tiga empangan utama di Melaka, iaitu Empangan Durian tunggal dan Empangan Jus mendapatkan bekalan air bersih dari Sungai Muar, yang membekalkan air kepada lebih separuh daripada seluruh populasi Melaka.

Sumber agensi kerajaan memberitahu, berdasarkan beberapa kajian yang dijalankan di Sungai Muar, kes pencerobohan tanah rizab di kawasan sekitar sungai itu menyebabkan berlakunya mendapan dasar sungai menjadi lebih cetek.


SUNGAI Muar bukan saja menjadi sumber utama bekalan air mentah bagi penduduk daerah Muar dan sekitar, malah turut membekalkan kira-kira 60 peratus bekalan air bagi Melaka. - Foto Badrul Kamal Zakaria

"Mendapan ini menyebabkan air masin dari kawasan laut yang berada di paras lebih tinggi, mudah menembusi kawasan delta sungai yang lebih rendah sehingga sejauh 43 kilometer ke bahagian hulu Sungai Muar, menjadikan kualiti air berubah dan air sungai berubah menjadi payau serta berbau.

"Keadaan ini sekali gus boleh menjejaskan bekalan air bersih bukan sahaja bagi penduduk Muar tetapi juga sebahagian besar rakyat Melaka berikutan dua dari tiga empangan iaitu Empangan Durian Tunggal dan Empangan Sungai Jus turut mendapatkan sumber bekalan air utama dari Sungai Muar," katanya.

Pencerobohan tanah rizab di Sungai Muar lebih tertumpu pada bidang pertanian dan penternakan. Selain menyebabkan mendapan, penggunaan baja, racun dan najis haiwan juga menyebabkan kualiti dan sifat fizikal air di Sungai Muar terganggu.

 

"Pencerobohan tanah rizab sungai yang terlalu hampir dengan kawasan sungai juga boleh menyebabkan keadaan tebing runtuh atau terhakis. Ini akan menyebabkan keadaan air sungai menjadi berkelodak dan bercampur dengan pelbagai benda asing yang menjejaskan kualitinya," katanya.


SUNGAI Muar cetek dan berlumpur memburukkan masalah penerobosan air masin sekali gus menjejaskan mutu air mentah. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Beliau berkata, pencerobohan tanah rizab sungai dan ditambah masalah penerobosan air laut ini juga secara tidak langsung menyebabkan kos pengeluaran bekalan air bersih dan terawat untuk kegunaan penduduk menjadi lebih tinggi dan mahal.

"Keadaan ini sekiranya tidak ditangani, sudah pasti menyebabkan loji rawatan air terpaksa berfungsi semaksimum mungkin bagi memastikan bekalan air bersih dan berkualiti dapat dibekalkan kepada pengguna," katanya sambil menambah pencerobohan tanah rizab sungai menjejaskan fungsi hidrolik sungai serta sistem ekosistem sekali gus menjejaskan bekalan air bersih kepada pengguna.

Pakar Kualiti Air, Prof Dr Maketab Mohamed, berkata kegagalan menangani masalah pencerobohan tanah kerajaan khususnya membabitkan kawasan tadahan air seperti di Sungai Muar boleh mengancam sumber air bersih dan akan menyebabkan krisis air di kawasan terbabit pada masa depan.

Prof Maketab yang juga Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, rizab sungai atau dikenali sebagai zon penampan adalah amat penting dalam pengurusan sesebuah sungai di negara ini, tidak terkecuali bagi Sungai Muar yang menjadi sumber bekalan air bersih.


PAKAR Kualiti Air, Prof Dr Maketab Mohamed, yang juga Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Katanya, rizab sungai berfungsi sebagai penapis pencemaran untuk air larian (runoff) dari hujan terutama di kawasan yang terdapat banyak kegiatan manusia seperti pertanian, perindustrian dan perumahan sehingga menyebabkan air larian terbabit tercemar.

"Selain itu, kawasan rizab sungai ini penting bagi habitat mamalia dan binatang kecil seperti monyet untuk hidup. Ini kerana kawasan terbabit mengandungi pokok buah asal seperti pokok ara yang menjadi sumber makanan semula jadi mereka.

"Kawasan zon penampan ini juga menampung habitat hidupan dalam sungai yang berfungsi sebagai tempat tinggal, membiak dan mencari makanan," katanya.

Justeru, katanya, kerajaan perlu bertindak tegas menangani masalah pencerobohan di kawasan rizab dan memastikan pengurusan berkesan di kawasan tadahan bagi menjamin mutu air mentah, bagi membolehkannya diproses sebagai air minuman.

"Jika kawasan ditukarkan atau menjadi kawasan perumahan, kilang atau pertanian, sudah tentu air mentah ini akan bertukar kualiti dan kuantitinya.

Jika kawasan tadahan air mentah ini 100 peratus hutan, sudah tentu airnya amat bersih iaitu pada Kelas I mengikut Klasifikasi Standard Kualiti Air Kebangsaan. Punca air minum hanya dari Kelas III ke atas sahaja manakala Kelas IV untuk pengairan pertanian dan Kelas V pula tidak boleh digunakan untuk kegunaan manusia," katanya.

Penerobosan air masin bukan sahaja menjejaskan bekalan air bersih kepada manusia dan hidupan lain, malah menyebabkan kerugian ekonomi mencecah bilion ringgit. Ikuti penjelasan selanjutnya, esok.

Berita Harian X