Khamis, 1 Oktober 2015 | 9:22am

Russia mula serangan di Syria, Barat persoal sasaran

MENTERI Luar Russia, Sergei Lavrov (kiri) dan Setiausaha Negara AS, John Kerry. - Foto REUTERS
MENTERI Luar Russia, Sergei Lavrov (kiri) dan Setiausaha Negara AS, John Kerry. - Foto REUTERS

NEW YORK: Russia dan Amerika Syarikat (AS) setuju untuk mengadakan segera satu mesyuarat ketenteraan bagi mengelakkan pertembungan tentera kedua-dua negara selepas Moscow memutuskan untuk terbabit sama dalam konflik di Syria.

Pegawai AS bimbang dengan perkembangan terkini selepas pesawat pejuang Russia mula terbabit dalam aktiviti ketenteraan di Syria, pembabitan pertamanya di luar negara selepas Kesatuan Soviet menakluk Afghanistan pada 1979.

AS menuduh Russia membedil kumpulan pejuang berhaluan sederhana yang menentang rejim Bashar al-Assad dengan mendakwa mereka menyerang kumpulan militan Negara Islam (IS).

Pegawai AS juga mendakwa pasukan bersekutu yang diterajuinya juga hanya diberitahu mengenai penyertaan Russia, sejam sebelum Moscow mula membedil sasaran.

Menangani kebimbangan pegawai AS dan orang ramai, Setiausaha Negara AS, John Kerry dan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov bertemu pada sampingan Sidang Puncak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengumumkan akan bermesyuarat dan merumus rancangan untuk menggerakkan semula proses damai Syria.

Pembabitan Russia dalam konflik membangkitkan persoalan ramai sama ada negara itu mahu menghapuskan IS atau membantu sekutunya, Presiden Bashar al-Assad. - AFP

Berita Harian X