Khamis, 1 Oktober 2015 | 12:45pm

Beri peluang kepada PBS jika ada pertambahan kerusi DUN - Pairin


PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. - Foto Edmund Samunting

KINABATANGAN: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, minta pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada calon parti itu bertanding sekiranya ada pertambahan kerusi di negeri itu.

Timbalan Ketua Menteri berkata, PBS mempunyai ramai calon yang berkualiti untuk diketengahkan pada pilihan raya umum akan datang.

"Pemilihan calon untuk bertanding pada pilihan raya perlu melalui pemilihan dan perbincangan serta mendapat persetujuan daripada Ahli Majlis Tertinggi parti," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PBS Bahagian Kuamut di sini, semalam.

Beliau mengulas saranan anggota PBS Bahagian Kuamut yang mahukan pimpinan BN memberikan peluang kepada calon PBS sekiranya diwujudkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Garam.

Pairin berkata, parti itu turut berharap kerusi DUN Langkon dalam Parlimen Kota Marudu diwujudkan semula dan beri peluang kepada calon PBS untuk memperjuangkan nasib penduduk, selain memperhebatkan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan itu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menasihati anggota parti supaya tidak menerima bulat-bulat maklumat tidak sahih daripada mana-mana pihak yang cuba memesongkan pemikiran dan menimbulkan perbalahan antara pemimpin parti termasuk daripada komponen BN.

Pairin bekata, mereka perlu sentiasa bersama-sama memperjuangkan matlamat parti dengan mendapat kerjasama daripada BN.

Ini sejajar dengan objektif dan perjuangan parti itu yang berlandaskan dasar berbilang kaum dan keturunan sejak 30 tahun lalu, katanya. - BERNAMA

196 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »