Khamis, 1 Oktober 2015 | 8:41pm

Titian Budaya rai ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-Singapura


PESURUHJAYA Tinggi Singapura, Vanu Gopala Menon (kiri), Pengarah MCCY Yeo Whee Jim, Kebudayaan Pengarah Link Singapura Ching Lee Goh pada sidang akhbar Titian Budaya, meraikan Persahabatan 50 tahun Singapura-Malaysia . - Foto Rohanis Shukri.

KUALA LUMPUR: Penganjuran acara Titian Budaya di sekitar ibu kota selama tiga bulan mulai 21 November hingga 17 Januari depan bakal meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.

Program anjuran Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura yang disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu akan disertai oleh 400 penggiat seni budaya kedua-dua negara.

Antara acara yang diadakan ialah pameran lukisan, bazar seni dan kraf, persembahan tarian, pementasan teater, tayangan filem pendek dan konsert.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, berkata Titian Budaya ialah platform terbaik untuk menggalakkan kerjasama budaya antara Malaysia dengan Singapura, sekali gus mengangkat pelbagai karya kreatif dan hasil seni.

"Ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-Singapura mempunyai pertalian cukup rapat dengan aspek seni dan budaya kerana kedua-dua negara ini berkongsi pelbagai warisan, sejarah dan cara hidup yang hampir sama.

"Ini adalah kali kedua program Titian Budaya dianjurkan selepas pertama kali diperkenalkan pada tahun 2008 dengan Singapura sebagai tuan rumah," katanya pada sidang media di sini, petang tadi.

Hadir sama Pengarah Bahagian Seni dan Warisan, Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura, Yeo Whee Jim.Menon berkata, sudah tiba masanya perkongsian budaya dibawa pula ke negara ini untuk memberi peluang kepada penggiat seni kreatif di Singapura menunjukkan keistimewaan serta keunikan seni mereka.

"Seni dan budaya memberikan kita kelebihan untuk mengungkapkan seni dalam pelbagai cara, sekali gus menjadikan Titian Budaya sebagai pentas yang terbuka untuk umum berkongsi ekspresi seni," katanya.

Antara acara yang akan berlangsung sepanjang program Titian Budaya termasuk Pameran Lukisan Art Next Door di White [email protected], Damansara pada 21 November, disusuli persembahan konsert berprestij, Malam Titian Budaya pada 8 Disember di Dewan Filharmonik, Petronas, selain pementasan teater oleh T.H.E Dance Company di Damansara Performing Arts Centre pada 19 dan 20 Disember depan.

Berita Harian X