Khamis, 1 Oktober 2015 | 9:43pm

KTMB perkenal perkhidmatan komuter baharu dari Seremban ke Gemas

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan laluan baharu, perkhidmatan pergi-balik antara stesen Seremban-Pulau Sebang/Tampin-Gemas mulai 10 Oktober ini.

KTMB dalam satu kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan KTM Komuter itu akan menggunakan laluan berkembar elektrik dari Seremban ke Gemas dengan kelajuan antara 120 hingga 140 kilometer sejam.

"Perkhidmatan komuter sejauh 102 kilometer ini akan berhenti di tujuh stesen iaitu Seremban, Senawang, Sungai Gadut, Rembau, Pulau Sebang/Tampin, Batang Melaka dan Gemas.

"Masa perjalanan dari Seremban ke Pulau Sebang/Tampin hanya 38 minit manakala dari Seremban ke Gemas hanya mengambil masa satu jam lima minit sahaja," menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan komuter itu akan menggunakan Tren Elektrik Pelbagai Guna (EMU) dengan tiga gerabak, ia menawarkan 59 perkhidmatan sehari iaitu 55 perkhidmatan pergi dan balik dari Seremban-Pulau Sebang/Tampin dan empat perkhidmatan Seremban-Gemas, menurut kenyataan itu.

"Buat permulaan, kekerapan tren ialah setiap 30 minit pada waktu puncak dan satu jam pada waktu luar puncak. Perkhidmatan ini akan bermula seawal 5 pagi sehingga 11 malam setiap hari.

"Kadar tambang untuk laluan Seremban-Pulau Sebang/Tampin-Gemas ialah dari RM1 sehingga RM7.80 bagi perjalanan sehala untuk seorang dewasa, KTMB juga menawarkan tiket konsesi dengan tambang separuh harga untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak berusia dari empat hingga 12 tahun," katanya.

KTMB juga meminta orang ramai tidak menceroboh laluan tren berkenaan kerana laluan landasan berkembar elektrik itu mempunyai arus elektrik tinggi.

Maklumat lanjut boleh layari laman web KTMB di www.ktmb.com.my atau menghubungi 1-300-88-5862. - BERNAMA

Berita Harian X