Jumaat, 2 Oktober 2015 | 12:05am
Sungai Kuantan Pahang

Penerobosan air masin di Sungai Muar boleh lumpuhkan industri


PENEROBOSAN air masin ke dalam sumber bekalan air mentah bukan sahaja menjejaskan bekalan air bersih kepada manusia dan hidupan lain, malah menyebabkan kerugian ekonomi mencecah bilion ringgit.

Pakar Kualiti Air, Prof Dr Maketab Mohamed, penerobosan air masin atau fenomena saltwater intrusion boleh mengancam ekonomi negara, khususnya bagi sektor elektronik.

"Manusia boleh minum lagi air walaupun tahap kemasinan berada pada tahap melebihi 0.1 ppt atau satu bahagian per seribu kerana pada tahap ini, lidah kita tidak dapat merasai kemasinan.

"Tetapi, untuk industri, ia memerlukan air pada tahap 0.0 ppt. Apa yang saya bimbang, ia mungkin boleh menjadi seperti yang berlaku di Sungai Kuantan dahulu, yang menjejaskan industri di sana. Kerugiannya bukan sikit, tetapi mencecah bilion ringgit," katanya.

Jelasnya, air masin atau payau memberi impak besar pada industri elektronik, terutamanya dalam pembuatan mikrocip kerana air masin atau payau ini boleh menghakis dan merosakkan mikrocip. Industri makanan dan minuman juga terjejas apabila mutu air merosot.


PENGHADANG yang dibina bagi mengelak penerobosan air masin di Sungai Kuantan.

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai masalah yang berlaku di Sungai Kuantan, Pahang, Prof Maketab yang juga Pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, masalah yang berlaku kira-kira 10 tahun lalu bukan sahaja menyebabkan krisis bekalan air bersih bagi penduduk bandar terbabit, tetapi turut memberi kesan yang besar terhadap sektor ekonomi.

Katanya, fenomena penerobosan air masin di Sungai Kuantan itu memberi impak terhadap pihak industri di bandar terbabit suatu ketika dahulu.

"Kejadian ini memang menyebabkan kerugian. Nilai sebenarnya saya kurang pasti, tetapi dalam lingkungan jutaan ringgit atau lebih. Ia memberi kesan terutama kepada industri berasaskan elektronik khususnya pembuatan cip kerana masalah ini boleh menyebabkan kakisan.

"Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Pahang (PAIP) terpaksa membina pintu air (barrage) berhampiran Kampung Kobat menghalang kemasukan air masin jauh ke bahagian hulu Sungai Kuantan.

"PAIP terpaksa membina pintu air bagi menghalang air masin daripada masuk ke kawasan pengambilan air (water intake). Masalah ini mungkin tidak akan berlaku dan pembinaan pintu air boleh dielakkan jika pusat pengambilan air diletakkan ke kawasan yang lebih jauh di hulu sungai," katanya.

Prof Maketab berkata, pembinaan pintu air itu dapat mengekang masalah penerobosan air masin, tetapi ia menimbulkan masalah lain apabila menjejaskan ekosistem sungai terbabit.

"Saya memang kurang setuju dengan cara ini. Bukan ekosistem sahaja terjejas, malah ikan di dalam sungai pun terjejas kerana tidak boleh bergerak ke kawasan hulu atau hilir dengan bebas. Bot nelayan juga tidak boleh melalui kawasan sungai lagi kerana dihalang oleh pintu air ini.

"Mungkin kita boleh menggunakan kaedah 'fish ladder' (tangga ikan) yang akan dilihat mampu membantu ikan bergerak di dalam sungai atau untuk membuat pintu bagi laluan hidupan akuatik ini," katanya.f

Ditanya mengenai fenomena sama boleh berlaku di beberapa sungai lain di Malaysia, beliau berkata, memang beberapa sungai sudah menunjukkan tanda fenomena itu berlaku, namun ia tidak begitu kritikal.

"Sungai Kelantan pernah ada masalah penerobosan air masin ini tetapi ia tidak menjadi isu kerana pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak mengambil air terus dari sungai terbabit, tetapi membina telaga di tepi sungai. Dari situlah mereka mengambil air mentah.

"Sungai Selangor juga berhadapan dengan fenomena ini, namun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) sudah lama membina pintu air di sungai terbabit. Mungkin ada beberapa lagi sungai, namun mungkin tiada kajian dilakukan terhadapnya," katanya sambil menjelaskan fenomena turut berlaku di seluruh dunia.

Apa yang jelas, fenomena itu sudah berlaku di Sungai Muar dan banyak faktor yang menyumbang pada fenomena itu, termasuk pencerobohan tanah rizab sungai dan pengambilan air yang berterusan dari kawasan itu untuk kegunaan penduduk serta industri.

"Fenomena penerobosan air masin berlaku apabila air masin atau payau melepasi sempadan yang normal untuk air tawar. Zon normal biasanya ialah kawasan hulu sungai yang tawar, kawasan tengah sungai yang payau dan kawasan hilir sungai yang masin atau air laut.

"Di Sungai Muar, apabila air tawar yang mengalir ke kawasan kuala berkurangan, air masin dan payau akan bergerak ke hulu. Biasanya ia berlaku pada musim kemarau dan air masin atau payau ini akan bergerak naik ke hulu sungai untuk menggantikan air tawar yang berkurangan.

 

"Selain itu, pengambilan air untuk pengairan pertanian atau untuk air minum domestik juga akan mengurangkan jumlah air tawar ini. Perlu diingat, Sungai Muar juga adalah punca air mentah bagi penduduk di daerah terbabit (Muar, Johor) dan juga Melaka.

"Ini kerana dua pam besar di Gersik akan mengepam air Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal dan Empangan Sungai Jus di Melaka bagi tujuan air minuman domestik di negeri terbabit. Tanpa air mentah dari Sungai Muar, Melaka akan menghadapi masalah air yang sangat kritikal," katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Pencinta Alam Sekitar Malaysia berkata, fenomena itu juga boleh menukarkan keadaan semula jadi di kawasan lembangan sungai terbabit seperti yang sedang berlaku di Sungai Muar ketika ini.

"Apabila kemasinan air bertukar, ia akan mengubah keadaan semula jadi. Apabila habitat bertukar, flora dan fauna juga akan bertukar tetapi dalam jangka masa yang agak panjang.

"Hidupan akuatik seperti udang galah juga mempunyai 12 tahap hidup dan setiap tahap memerlukan kemasinan dan kualiti air tertentu. Ini mungkin satu faktor haiwan terbabit semakin berkurangan di Sungai Muar," katanya.

Setiap sungai di negara ini mempunyai sistem hidrologi dan keupayaan berbeza. Ia perlu difahami sebaiknya bagi menangani sebarang masalah yang menjejaskan fungsinya sebagai sumber air bersih. Ikuti penjelasan lanjut, esok.

Berita Harian X