Sabtu, 3 Oktober 2015 | 12:01am
MR Hau (kanan) menikmati minuman teh herba ajaib bersama keluarganya. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
SEKALI pun tidak mengenakan sebarang bayaran, pengunjung tetap memberi sumbangan ikhlas selepas menikmati minuman itu dan membawanya pulang. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Tembok rumah Anwar Hashim kena pecah kerana teh herba


RIBUAN pengunjung berduyun-duyun mengunjungi rumah seorang tukang kebun di Kampung Pengkalan Batu, di Melaka, untuk meminum teh herba, yang didakwa dapat menyembuhkan 15 jenis penyakit.

Banyak kereta diletakkan di sepanjang selekoh jalan yang menghala ke Jalan Solok Kedai, sehinggakan Anwar Hashim, 59, mengubah pekarangan rumahnya menjadi sebuah gerai teh.

Pelbagai kaum, termasuk Melayu, Cina dan India, malah datang dari dalam dan luar negara seperti Thailand dan Indonesia mengunjungi kediamannya kerana mahu mencuba minuman yang dikatakan ajaib itu.

Berita 'keajaiban' minuman teh herba itu mula tersebar di laman sosial Facebook, baru-baru ini, selepas ramai pengguna yang pernah mencuba minuman berkenaan memberi maklum balas positif mengenai penyakit dihidapi mereka.

Penulis berkesempatan merasai sendiri kehebatan air herba itu, yang rasanya seperti teh kundur, selain meninjau gerai berkenaan bagi mendapatkan reaksi pengunjung yang datang hampir setiap malam.

Menariknya, teh herba yang disediakan adalah percuma, malah ada pengunjung yang membawa pulang air minuman itu menggunakan botol minuman dan termos.

Anwar berkata, khasiat teh herba itu mula dikesannya ketika menyertai kursus mengenai pokok perhiasan bunga dan landskap pada tahun 1997.

"Semuanya bermula kira-kira 20 tahun lalu apabila saya dimaklumkan terdapat sejenis pokok bunga boleh dijadikan herba. Sejak itu, saya melakukan kajian ke atas diri sendiri. Saya mempunyai penyakit buasir dan gastrik.

ANWAR memastikan setiap rebusan minuman teh herba mendidih sepenuhnya sebelum diedarkan kepada orang ramai. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Saya menghasilkan air rebusan bunga ini dan meminumnya secara berterusan. Alhamdulillah, penyakit buasir dan gastrik saya pulih, malah badan pun cergas dan dapat tidur nyenyak," katanya.

Khasiat teh herba itu turut dikongsi bersama keluarga, jiran dan rakannya. Rata-rata memberi maklum balas baik, malah, katanya, seorang daripada mereka yang menghidap penyakit batu karang sembuh sepenuhnya dan disahkan pulih oleh pegawai perubatan.

Penyediaan minuman itu diserahkan kepada isterinya, Siti Zaharah Kasim, 56 dan empat anak mereka mengikut sukatan yang ditetapkan.

"Kita mempunyai sukatan untuk membuat ramuan ini. Jika daun memenuhi periuk besar sehingga setinggi 75 sentimeter (sm), kuantiti air perlu lebih rendah 10 sm. Rebusan pula perlu dimasak sehingga betul-betul mendidih dan dibiarkan sehingga 40 minit.

"Saya tidak meletakkan sebarang bahan pengawet bagi mengekalkan keasliannya. Oleh sebab itu, ramuan ini hanya mampu bertahan sekurang-kurangnya 48 jam dan daun rebusan itu pula boleh diulang rebus sebanyak tiga kali saja," katanya yang turut memaklumkan air rebusan itu boleh dibuat mandian dan membasuh muka.

Tambah Anwar, bagi mengekalkan bekalan herba itu, beliau mengusahakan ladang tanaman itu seluas empat hektar, yang terletak di Negeri Sembilan dan sebuah lagi ladang di Melaka.

RESIPI air rebusan herba 'ajaib' yang dihasilkan Anwar didakwa mampu menyembuhkan sehingga 15 jenis penyakit. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

ANWAR (berdiri kanan) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir ke rumahnya untuk menikmati minuman teh herba ajaib yang disediakannya. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

"Pegawai dari Kementerian Kesihatan pernah datang untuk mengambil sampel pokok hiasan bunga dan air rebusan untuk dibuat kajian, malah Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) turut melakukan kajian sama.

"Saya tidak berhasrat mempatenkan ramuan saya. Saya lebih suka buat begini (percuma) sebab kos masih murah," katanya yang enggan mendedahkan nama pokok hiasan herba itu kerana tidak mahu ia disalahgunakan hingga mendatangkan mudarat.

Pada masa sama, beliau turut menafikan membuka cawangan di mana-mana tempat atau melantik mana-mana pihak untuk menjual ramuan itu.

Sehingga sekarang, Anwar hanya beroperasi dan membekalkan air ramuan itu secara percuma di rumahnya.

 "Saya tahu ada sekurang-kurangnya 15 orang yang mengambil ramuan ini dan menjualnya di sekitar negeri ini. Saya sedih dan kecewa perkara ini berlaku. Saya akan membuat laporan polis dan menggunakan khidmat peguam bagi menghentikan perbuatan mereka ini.

"Saya bimbang jika ramuan ini dicampur dengan bahan yang tidak baik dan akhirnya, nama saya yang busuk. Lebih baik datang sini, ikhlas saya beri percuma," katanya.

PENGUNJUNG yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia menunggu giliran mengambil minuman teh herba ajaib di Kampung Pengkalan Batu, Melaka. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AIR rebusan herba 'ajaib' dimasukkan ke dalam cerek untuk diedarkan kepada pengunjung. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Bercerita mengenai kediamannya yang tidak putus-putus menerima kunjungan ramai, Anwar berkata, tembok rumahnya pernah pecah akibat diserbu orang ramai untuk mendapatkan air rebusan itu.

Gerainya dibuka mulai jam 4 petang hingga jam 2 pagi, setiap hari. Dalam tempoh itu, sebanyak 140 periuk air rebusan disediakan untuk hampir 3,000 pengunjung.

Seorang pengunjung, Khalid Abdul Majid, 51, dari Batu Berendam berkata, kadar tekanan darah tingginya menurun selepas mengamalkan pengambilan teh herba itu setiap hari selama tiga bulan.

"Doktor mengesahkan tekanan darah saya mula menurun, tetapi saya tidak mendedahkan kepadanya mengenai ubat ini," katanya.

Bagi K Ramesh, 44, dari Jasin, sakit sendi dan lututnya semakin berkurangan, malah sentiasa berasa cergas selepas mengambil teh herba itu setiap malam selama 10 hari berturut-turut.

"Buang air juga lawas dan saya sentiasa segar selepas bangun pada jam 6 pagi," katanya.

Seorang lagi pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Hau, 54, berkata beliau dan keluarga mengunjungi gerai Anwar selepas dicadangkan oleh adiknya.

"Adik saya dulu pakai cermin mata kerana rabun teruk. Tetapi, selepas dia mengamalkan meminum teh ini lebih 20 kali, dia tidak lagi perlu guna cermin mata. Dia yang mencadangkan saya ke sini," katanya.

Kandungan air herba dianalisis

Pengarah Kesihatan Melaka, Datuk Dr Ghazali Othman, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kawalan dan Keselamatan Makanan sudah mendapatkan sampel air dan bahan rebusan teh herba terbabit untuk dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis.

Katanya, pegawai daripada jabatan itu sudah mengambil semua sampel berkenaan, tiga minggu lalu.

"Pihak kita sudah pergi ke kediaman lelaki itu untuk mendapatkan sampel air dan bahan yang digunakannya untuk tujuan siasatan.

"Bagaimanapun, kita belum boleh membuat sebarang keputusan kerana masih menunggu hasil ujian klinikal ke atas sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor. Ia kini sedang dianalisis," katanya.

Berita Harian X