Ahad, 4 Oktober 2015 | 8:42am

Pusat tahfiz percuma bela anak yatim


PELAJAR Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) di Jalan Cameron Highlands-Tapah.

SEBAIK melangkah masuk ke halaman Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi (MTFAW) yang terletak di Jalan Cameron Highlands-Tapah di sini, terdengar laungan takbir Aidiladha daripada pelajar madrasah yang sudah bersiap sedia untuk menunaikan solat Aidiladha.

Mereka menunggu kami sejak awal pagi untuk bersama-sama menunaikan solat Aidiladha dan mengadakan majlis korban dengan kerjasama Alumni Pelajar Komunikasi Massa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, sesi 1988-1991.

Melihat keriangan anak kecil ini menyambut kami, hati rasa tersentuh. Ketika kanak-kanak lain menyambut Aidiladha bersama keluarga masing-masing di kampung halaman, mereka berada di madrasah demi menuntut ilmu al-Quran.

MTFAW yang ditubuhkan sejak empat tahu lalu adalah sebuah institusi pendidikan khusus untuk menghafal al-Quran iaitu dengan menyediakan peluang pendidikan secara percuma bagi golongan asnaf.

Pelajar yang berada di sini dipilih dalam kalangan yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan terutama anak fakir miskin, anak yatim, mualaf, Orang Asli, fisabilillah dan lain-lain.

Pengasasnya, Ustaz Mazri Firdaus Mohd Ariffin berkata, pusat tahfiz yang beroperasi secara percuma itu diasaskan bersama isterinya, Sarimah Sam, 38, dengan menempatkan seramai 41 pelajar dan dua tenaga pengajar.

Beliau berkata, pelajar yang berusia dalam lingkungan enam hingga 17 tahun itu buat masa ini terdiri daripada anak yatim piatu, mualaf, fakir miskin, anak Orang Asli dan anak yang ibu bapa mereka sudah bercerai.


Mazri Firdaus Mohd Ariffin

"Saya amat memahami keadaan mereka kerana saya sendiri adalah anak yatim dan pernah tinggal di Rumah Bakti Hulu Klang ketika berusia 11 tahun," katanya yang mengakui pengalaman dilalui sejak kecil itu antara pencetus utama beliau menubuhkan madrasah tahfiz berkenaan.

"Ada antara anak-anak ini yang tiada tempat mengadu, buta huruf dan tidak tahu membaca al-Quran, oleh itu saya, isteri dan tenaga pengajar yang ada berusaha untuk memberikan yang terdaya supaya mereka tidak terabai," katanya.

Pelajar MTFAW tidak tertumpu kepada hafazan al-Quran sahaja, mereka turut mempelajari asas fardu ain dan subjek lain termasuk Bahasa Arab. Selain itu, mereka belajar ilmu kemahiran hidup secara praktikal seperti pertanian organik iaitu sayuran, ternakan ikan, kambing, ayam kampung dan arnab.

Pelajar ini datang dari seluruh negara termasuk Sabah, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor, Pahang, Perak dan Kuala Lumpur.

Selain menyediakan perkhidmatan pembelajaran hafazan al-Quran secara percuma, aktiviti kemasyarakatan turut diadakan seperti bacaan yasin dan doa, solat hajat, solat jenazah (normal/ghaib), doa elak penyakit angin ahmar, tahlil selain menyediakan air dibaca surah yasin serta ayat manzil.


PELAJAR MTFAW tidak tertumpu kepada hafazan al-Quran sahaja, mereka turut mempelajari asas fardu ain dan subjek lain termasuk Bahasa Arab.

Sumbangan orang ramai

Mazri berkata, ketika ini pembiayaan menguruskan madrasah dibiayai atas sumbangan dan bantuan orang ramai. Selain memerlukan bantuan kewangan bagi menampung keperluan operasi madrasah, MTFAW juga memerlukan sumbangan pelbagai pihak bagi melangsaikan pembayaran tapak pusat tahfiz terbabit.

Katanya, tanah MTFAW seluas 8.9 hektar itu dibeli dengan nilai RM1.4 juta dan pembayarannya dilakukan secara ansuran. Pihaknya masih memerlukan sebanyak RM500,000 lagi bagi melangsaikan harga tanah keseluruhan.

"Sehingga kini, baki bayaran untuk tanah itu masih banyak walaupun tempoh akhir janji pembayaran sepatutnya berakhir pada 13 Oktober ini. Pembayaran adalah hasil sumbangan dan derma orang ramai. Berapa pun nilai diperoleh, kita akan salurkan kembali kepada pemilik tanah sebagai pembayaran," katanya.

Beliau berkata, MTFAW berpindah ke Jalan Cameron Highlands-Tapah dari Teluk Intan pada awal tahun ini dan sebelum itu madrasah berkenaan pernah beroperasi di Pekan Nenas, Pontian, Johor dan Pasir Salak, Perak.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan derma dan sebarang bentuk bantuan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank Madrasah Tahfiz Firdaus Al Warisi, 558060504394 atau hubungi Mazri Firdaus di talian 014-2528085 atau 017- 4418384.

Berita Harian X