Ahad, 4 Oktober 2015 | 2:03pm

Malaysia sasar mara separuh akhir futsal AFF

KUALA LUMPUR: Malaysia sasar kedudukan empat terbaik pada Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2015 di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 16 Oktober ini.

Ketua jurulatih skuad futsal lelaki negara, Marcelo Serpa berkata sasaran itu adalah untuk memastikan Malaysia layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan Futsal AFC 2016 di Uzbekistan pada Februari.

"Jika berjaya layak ke separuh akhir, sudah tentu sasaran kedua kami adalah untuk melangkah ke final. Berdasarkan persiapan yang rapi menjelang kejohanan kali ini, saya rasa pasukan ini memiliki kemampuan untuk melangkah ke final.

"...dan apabila berjaya mara sehingga ke final, sudah tentu kami cuba untuk menjuarai Kejohanan Futsal AFF buat kali pertama.

"Memang bukan mudah kerana Thailand dan Australia (dua finalis pada dua edisi lepas) pasukan yang kuat," katanya dalam kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Serpa yakin skuad kebangsaan mampu menyerlah pada kejohanan kali ini, berikutan prestasi pemain yang lebih baik, selepas kali terakhir beraksi di final pada 2010, selain gagal ke separuh akhir dua kali berturut-turut pada 2013 dan 2014.

"Tidak banyak perubahan saya lakukan daripada senarai 16 pemain yang dibawa untuk lima aksi persahabatan di Jepun, awal bulan lepas.

"Cuma kali ini, saya menyenaraikan Abu Haniffa Hasan menggantikan Afif Asyraf dan penjaga gol, Mohd Noor Azrin Adnan menggantikan Mohd Rahimi," katanya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A, akan memulakan cabaran menentang Brunei pada 8 Oktober sebelum berdepan Thailand (10 Oktober), Timor Leste (11 Oktober) dan Singapura (12 Oktober).

Sementara itu, Australia, Vietnam, Laos, Myanmar dan Filipina diundi dalam Kumpulan B.

Senarai 16 pemain negara:

Mohd Firdaus Razali,

Syed Aizad Daniel Syed Nasir,

Muhammad Shamsul Akmar Zamri,

Abu Haniffa Hasan,

Muhammad Fitri Muhamad Yatim,

Qaiser Heshaam Abdul Kadir,

Ahmad Fawzul Hadzir,

Saiful Nizam Mohamad Ali,

Muhammad Akmal Yazadh Amri,

Azrul Hadee Mohd Taufiq,

Mohd Ridzwan Bakri,

Mohd Khairul Effendy Mohd Baharin,

Saiful Aula Ahmad,

Akmarulnizam Mohd Idris,

Muhammad Shamar Fadzil,

Mohd Noor Azrin Adnan.

-- BERNAMA

Berita Harian X