Ahad, 4 Oktober 2015 | 3:30pm

Jerebu beri kesan pengeluaran madu lebah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Keadaan jerebu yang melanda negara memberi kesan kepada kehidupan unggas dan sekali gus pengeluaran madu lebah merudum di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Pemungut Madu Lebah Terengganu (Kopemat), Ibrahim Ismail berkata pengeluaran madu lebah di Terengganu sekarang merosot kira-kira 70 peratus berbanding sebelum ini.

"Asap (jerebu) memberi kesan kepada kehidupan lebah kerana lebah memang sensitif dengan asap.

"Kawasan pencarian madu lebah yang paling teruk terjejas ialah Marang," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Ibrahim, boleh dikatakan hampir keseluruhan sarang lebah yang ditemui di kawasan itu didapati tiada madu dan kering, tidak seperti sebelum ini didapati sarang lebah penuh dengan madu.

Katanya, ketiadaan madu itu menyebabkan pihaknya sukar untuk memenuhi pasaran dalam dan luar negara.

"Setakat ini (musim ini) kami baru membeli dan mengumpul madu kira-kira 300 kilogram berbanding lebih 1,000 kilogram dalam masa yang sama sebelum ini," katanya.

Berikutan itu, Ibrahim berkata harga madu telah meningkat kira-kira RM10 bagi setiap kilogram di peringkat ladang sekarang sebab tiada bekalan. - BERNAMA

Berita Harian X