Ahad, 4 Oktober 2015 | 4:53pm

Najib lancar festival makanan Malaysia di Milan


CHEF Asmawi Rozli menunjukkan cara membuat `Roti canai terbang'. - Foto BERNAMA

MILAN, Itali: `Roti canai terbang' oleh Chef Asmawi Rozli atau lebih dikenali Mawi menarik perhatian tetamu pada Festival Makanan Malaysia di Malaysian Pavillion di Expo Milano 2015 dengan kemahirannya memusingkan makanan kegemaran rakyat Malaysia itu di udara.

Mawi menunjukkan kepada penonton cara membuat roti canai bermula dari menguli hingga menebarnya di udara sambil menari sehingga mendapat tepukan gemuruh para tetamu.

Roti canai adalah antara hidangan Malaysia yang dihidangkan kepada tetamu asing pada Festival Makanan Malaysia yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sini, malam tadi.

Tetamu turut dijamu dengan makanan terkenal Malaysia yang lain seperti sate, rendang daging, asam laksa, dim sum, karipap, goreng pisang, cucur udang dan bubur pulut hitam dan pengat pisang serta teh tarik.

Selain makanan, tetamu dihiburkan dengan persembahan kebudayaan Malaysia oleh penari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara.

Turut hadir ialah Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. - BERNAMA

Berita Harian X